fbpx

Amen penerus legasi tinggalan Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMEN mengambil alih tanggungjawab menyiapkan karya terakhir Mamat Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

SEKALI pandang, tiada siapa yang perlu menyangkal Mohd. Khalid Amen atau mesra di sapa Amen begitu mirip dengan Allahyarham bapanya, pengarah legenda Mamat Khalid.

Tidak hanya rupa yang seakan-akan sama, Amen sebenarnya orang kanan dalam setiap kerja seni Mamat, terutama pada bahagian suntingan karya, malah telah menjadi ‘anak murid’ bapanya sejak kecil lagi.

Justeru, tidak hairanlah Amen yang baru berusia 26 tahun dengan mudah memperoleh kepercayaan seluruh produksi dan peminat untuk meneruskan legasi seni tinggalan sutradara ulung yang meninggal dunia pada 24 Oktober tahun lalu.

Amanah dan tanggungjawab yang dipikul Amen cukup berat, apatah lagi semua mata tertumpu kepadanya selepas menunaikan tugas pertama, menyiapkan karya terakhir Mamat, sebuah filem berjudul Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

SELEPAS pemergian bapanya pada Oktober tahun lalu, Amen kini menjadi penerus legasi seni yang ditinggalkan Mamat.

“Perasaan bercampur-baur, teruja tetapi dalam masa sama bimbang penerimaan penonton. Ini kira filem pertama saya dan kita semua tahu karya papa (Mamat Khalid) bukan kecil. Jadi, saya perlu buat yang terbaik,” kata Amen membuka bicara.

Berkongsi tentang pengalaman pertamanya duduk di kerusi pengarah filem, Amen mengakui tekanan yang ditanggungnya cukup tinggi.

Namun, semua itu berjaya diharungi berkat kata-kata amanat arwah bapa yang menjadi pegangannya sehingga kini.

“Memang tertekan, tetapi saya selalu ingat kata-kata papa yang minta saya buat dengan baik ketika penggambaran, jadi saya jalan terus. Jika saya panik, penggambaran tidak berjalan.

“Saya ikut apa yang dilakukan papa setiap kali sebelum mula penggambaran. Papa akan duduk diam dalam tempoh yang lama kerana beliau pun sebenarnya gementar, apatah lagi saya yang masih terlalu baharu dalam bidang pengarahan.

“Sekarang duduk di kerusi pengarah barulah saya tahu apa yang papa rasa, tanggungjawabnya sangat besar,” ujar Amen.

Emosi

Sambung Amen yang sebelum ini pernah mengarah telefilem Sis Ngensot dan Pochong, cabaran terbesarnya sepanjang menyiapkan filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali adalah bergelut dengan emosinya sendiri.

Cukup rapat dengan arwah bapanya dan selalu menemaninya ke set penggambaran antara memori yang berlegar-legar di minda sepanjang membikin filem komedi berkenaan.

BEKERJA dengan ramai senior dan nama-nama besar dalam industri membuatkan Amen melalui cabaran besar apabila berasa segan untuk menegur jika ada kesalahan yang ingin diubahnya.

“Emosi saya kurang stabil semasa penggambaran kerana sering teringatkan arwah papa. Duduk di depan monitor teringat dan terasa seperti arwah ada di belakang sedang memerhati.

“Adakala, terngiang-ngiang suaranya seolah-olah masih ada bersama saya. Memang sukar untuk kembalikan semangat sebab set penggambaran tempat permainan saya dari kecil bersama papa.

“Oleh itu, saya perlu menenangkan diri terlebih dahulu dengan duduk di sudut yang jauh daripada orang ramai setiap kali sebelum penggambaran bermula,” luah Amen.

Selain itu, cabaran terbesarnya adalah untuk mengarah barisan pelakon senior seperti Aziz M. Osman, Bell Ngasri, Kazar, Joey Daud, Yeop Hitler dan Mat London.

Disebabkan faktor usia yang begitu muda, Amen begitu takut untuk mengarah barisan pelakon yang tidak hanya mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, tetapi juga aspek teknikal sesebuah produksi.

“Saya segan hendak cakap ‘action’ depan mereka yang senior. Segan untuk menegur mereka jika ada kesalahan atau perkara yang ingin saya ubah.

“Tetapi saya bersyukur kerana mereka memberi kepercayaan penuh dan pada masa sama turut membimbing serta membantu saya sehabis baik,” tutur Amen yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.

AMEN di satu sudut paling disukai oleh Allahyarham Mamat di rumah mereka iaitu di sisi sebuah piano yang menjadi instrumen paling gemar dimainkan bapanya untuk bersantai.

Sedar peminat francais Kampong Pisang sudah terbiasa dengan gaya pengarahan bapanya, Amen enggan mengambil risiko, sebaliknya mengikut acuan yang sempat ditinggalkan bapanya termasuklah skrip dan lokasi penggambaran.

“Memang mengikut rancangan asal papa ingin membuat penggam­baran di Teluk Senangin, Lumut dan Kuala Kangsar, Perak. Jadi, saya ikut apa yang telah dirancang.

“Skrip pula papa sempat buat ‘treatment’ dua minggu sebelum meninggal dunia, tetapi tidak sempat siap sepenuhnya. Selebihnya, skrip diselesaikan oleh kami yang terlibat dalam filem ini.

“Semasa penggambaran saya memang mengikut skrip dan ubah sedikit sahaja bergantung pada situasi kerana tidak mahu ‘sentuhan’ Mamat Khalid itu hilang,” akui Amen yang menonton karya bapanya berulang kali demi mendapatkan ‘roh’ pengarahan bapanya.

Galeri

Sungguhpun mempunyai cita rasa seni yang hampir sama dengan arwah bapanya, tetapi sebagai pengkarya dia sebenarnya memiliki hala tuju sedikit berbeza.

Jika Mamat Khalid terkenal dengan karya satira, Amen pula cenderung ke arah bentuk serius dan gelap.

AMEN bersama para pelakon filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang telah mula ditayangkan di Astro First pada 3 Mac lalu. Terdapat kerusi kosong di situ seperti memberi gambaran bahawa tempat itu sepatutnya diduduki Mamat Khalid.

“Genre filem yang saya minati agak berbeza dengan papa, tetapi itu bukan satu masalah kerana saya akan membawa dua gaya pengarahan yang berbeza iaitu cara papa dan saya, bergantung kepada karya,” tutur Amen.

Azam Amen, selain menyambung pembikinan karya yang telah siap ditulis oleh arwah bapanya seperti filem 19 Puasa di Kampong Pisang dan Hikayat (drama kisah dongeng), dia juga mahu mengembangkan rumah produksi milik keluarganya, Enjit Enjit Semut Sdn. Bhd.

“Insya-Allah saya akan meneruskan kerja-kerja papa.

“Terdapat beberapa buah skrip yang telah siap cuma tidak sempat jalani penggambaran, termasuk filem 19 Puasa di Kampong Pisang yang akan memulakan penggambaran tahun depan.

“Buat peminat yang merindui arwah papa, nantikan kemunculannya pada Ramadan ini di Astro Warna menerusi program masakan berjudul Warung Pak Jabit. Program ini adalah lakonan terakhir papa yang saya arahkan,” ujar Amen.

SEBAGAI ‘anak murid’ Mamat Khalid sejak kecil, gaya pengarahan bapanya begitu sebati di hati Amen, namun dia tetap mempunyai cita rasa tersendiri dalam pengarahan.

Sebagai perancangan jangka panjang, Amen mahu meneruskan impian arwah bapanya yang ingin membuka francais restoran Sarang Art Hub yang kini beroperasi di Tanjong Malim, Perak ke setiap negeri di Malaysia dan galeri Mamat Khalid.

“Saya ingin meneruskan impian papa yang mahu mewujudkan tempat orang seni berhimpun dan berkongsi ilmu di setiap negeri. Kini, saya dan keluarga dalam proses membina galeri Mamat Khalid bersama Sarang Art Hub di Ipoh.

“Papa turut sempat lihat lokasi tapak galerinya di Ipoh, bagaimanapun tidak sempat disiapkan kerana lokasinya di sebuah bangunan lama, jadi kerja-kerja pengubahsuaian agak memakan masa,” kata Amen.

Naskhah Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mengekalkan barisan pelakon asalnya seperti Kazar, Bell Ngasri, Aziz M. Osman, Mat London, Dewa Sapri, Ahmad Yassin, Rasydan Zakaria, Nizam Mok Ram, Joey Daud, Yeop Hitler, Rashid Othman dan Anis Nisham.

Menariknya, terdapat watak baharu menyerikan karya kali ini iaitu Datin Paduka Eina Azman sebagai Cek Mek, personaliti media sosial Azman Mantra (Gerhana) dan pengacara Dollah Cantik (Yaakob Kangkong).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI