fbpx

Amaran Putin buat NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTIN ketika mempengerusikan mesyuarat dengan ahli Suruhanjaya Keselamatan menerusi persidangan video di Novo-Ogaryovo, 3 Mac lepas. - AFP

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa penguatkuasaan zon larangan terbang di Ukraine akan menjadikan negara-negara ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ‘peserta’ dalam konflik peperangan tersebut, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Amaran keras itu dikeluarkan Putin kelmarin selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengecam NATO kerana menolak untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara negaranya.

“Kami akan menganggap mereka sebagai terlibat dalam konflik ini, tidak kiralah sama ada negara-negara itu merupakan ahli dalam mana-mana perikatan.

“Ia berkemungkinan boleh dilakukan ke atas mana-mana negara berdekatan (Ukraine). Sebarang gerakan untuk campur tangan akan dianggap oleh kami sebagai melibatkan diri dalam konflik bersenjata ini,” kata Putin.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan kakitangan syarikat penerbangan nasional Rusia, Aeroflot, di Moscow, kelmarin.

Sementara itu, Putin turut memberi amaran bahawa Ukraine berisiko kehilangan kedaulatan negaranya sekiranya sekatan ekonomi yang ketat terus dikenakan ke atas Moscow.

“Sekatan-sekatan tersebut seolah-olah mengisytiharkan perang,” tegasnya.

NATO sebelum ini menolak permintaan Ukraine untuk mewujudkan zon larangan terbang di ruang udaranya yang bertujuan bagi menyekat pengeboman oleh Rusia.

Ketua NATO, Jens Stoltenberg berkata, perikatan tentera itu tidak akan campur tangan dalam konflik Ukraine kerana bimbang konfrontasi secara langsung dengan Moscow akan menyebabkan perang menjadi lebih meluas.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ketika taklimat akhbar di Brussels pada Jumaat pula berkata, negara itu tidak akan mewujudkan zon larangan terbang kerana ia berisiko menjadi provokasi ke atas peperangan di seluruh Eropah.

“Satu-satunya cara untuk menguatkuasakan zon larangan terbang adalah dengan menghantar jet-jet pejuang NATO ke ruang udara Ukraine dan menembak pesawat Rusia.

“Presiden Joe Biden sudah menjelaskan bahawa kami tidak akan melibatkan diri dalam peperangan dengan Rusia. Bagaimanapun, kami akan bekerjasama dengan negara-negara sekutu untuk membantu Ukraine mempertahankan negara itu,” ujar Blinken. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI