fbpx

Aktiviti ATV rancak edupelancongan UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI menunggang ATV diperkenalkan UPSI bakal menjadi salah satu daya tarikan baharu kepada penggemar aktiviti lasak itu di sekitar Tanjung Malim.

SEBAGAI sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memang terkenal dengan penganjuran pelbagai program bermanfaat kepada masyarakat

Terbaharu, pihak pengurusan UPSI membuat kejutan dengan memperkenalkan aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di kampus Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.

Pengenalan aktiviti berkenaan merupakan satu produk edu pelancongan di universiti tersebut bagi memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam sekitar.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, aktiviti ATV di UPSI akan ‘dipasarkan’ sebagai produk pelancongan pendidikan kepada pengunjung berminat.

Jelas beliau, pengunjung boleh menunggang ATV di trek laluan lasak dan mencabar yang dijangka menjadi tarikan utama pelancong ke daerah itu dan UPSI khususnya.

“UPSI yakin, kaedah pendidikan melalui aktiviti lasak ini akan menarik minat orang ramai untuk mempelajari sejarah, sains dan geografi berbanding kaedah konservatif sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Sebanyak 10 buah ATV disediakan dan pengunjung diberi peluang untuk mencuba dan merasai cabaran mengendalikan kenderaan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI, Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, aktiviti ATV berkenaan akan diuruskan oleh Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (Aurora).

PIHAK pentadbir UPSI yakin kaedah pendidikan melalui aktiviti ATV dapat menarik minat orang ramai mempelajari sejarah, sains dan geografi yang ada sekitar universiti itu.

Aurora menerusi UPSI Adventure Park merupakan sebuah unit di bawah Pusat Sukan universiti itu yang menawarkan pelbagai program latihan serta motivasi kepada pihak luar.

Jelasnya, aktiviti ATV di bawah UPSI Adventure Park bakal menjadi pemangkin kepada semangat keusahawanan melalui konsep Earn and Learn dengan pelajar akan dilantik sebagai fasilitator.

“Menerusi ATV ini, para pelajar akan menguruskan pelancong yang datang berkunjung sambil belajar dan ini menjana pendapatan untuk universiti,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Dr. Mazuki Mohd. Yasim berkata, aktiviti tersebut bakal menjadi salah satu daya tarikan baharu kepada penggemar aktiviti lasak di sekitar Tanjung Malim.

Jelasnya, pihaknya merancang untuk menawarkan beberapa pakej ATV dengan laluan berdasarkan beberapa tahap daripada biasa sehinggalah lasak.

Terangnya, laluan-laluan berkenaan bakal membawa pelawat menerokai beberapa kawasan termasuk di dalam dan luar kampus sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang mempesonakan.

“UPSI terletak berhampiran kaki Banjaran Titiwangsa yang menyajikan panorama beberapa puncak gunung antaranya Gunung Liang, Gunung Sanggul, Gunung Kerjul, Gunung Tumang Batak serta Chondong Geliting.

“Pelawat juga dibawa melalui laluan offroad di luar kampus sebelum menuju ke kawasan air terjun Sungai Salak,” sambil memaklumkan harga sewaan ATV masih dalam peringkat perbincangan.

Beliau menambah, aktiviti ATV berkenaan juga bakal menjadi nilai tambah kepada program-program latihan yang dikelokan oleh pihak Aurora di UPSI selepas ini.

Jelasnya, penganjur latihan di bawah Aurora boleh memasukkan aktiviti ATV dalam setiap program yang dirancang.

“Sebelum ini, kebanyakan peserta program latihan di Aurora banyak melakukan aktiviti kayak, flying fox, meredah arus deras dan memanjat batu.

“Jadi, selepas ini penganjur program di sini mungkin boleh menggunakan ATV ini untuk merancang aktiviti bersesuaian dengan matlamat mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI