STRATFORD, ONTARIO – Sebuah pawagam di Ontario, Kanada yang hanya boleh memuatkan 13 orang diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai pawagam paling kecil di dunia, lapor United Press International (UPI) kelmarin.
Pawagam Little Prince Micro-Cinema di bandar Stratford itu dibuka pada Oktober 2021 dan didekorasi mengikut gaya teater kecil era Ratu Victoria lengkap dengan permaidani merah, tempat duduk bertingkat dan tali baldu.
Pemilik dan pengendali pawagam, Leigh Cooney berkata, tapak itu dahulunya adalah galeri dan kedai cenderamata bernama Meet Your Maker. Pawagam kecil itu dilengkapi dengan skrin yang boleh ditarik ke bawah dan kerusi lipat untuk menayangkan beberapa filem tempatan.
“Kami mula bekerjasama dengan pembuat filem tempatan, menganjurkan beberapa pertandingan di sekitar bandar. Kemudian kami fikir, betapa hebatnya jika kami bina bilik tayangan secara kekal,’’ kata Cooney kepada stesen televisyen Global News.
Cooney berkata, tumpuan teater itu adalah untuk menganjurkan parti kecil dan majlis persendirian ketika pandemik Covid-19.
Teater itu secara rasmi dianugerahkan Rekod Dunia Guinness untuk pawagam terkecil yang dibina khas setelah diukur bersaiz seluas 16.29 meter persegi.
“Ia sangat menggembirakan untuk mendapat pengiktirafan ini. Kami mungkin kecil tetapi kami mempunyai impak yang besar untuk mereka yang mencari alternatif selamat dan unik untuk pawagam tradisional,’’ kata Cooney kepada akhbar The Stratford Beacon Herald selepas mendapat pengiktirafan. – Agensi