fbpx
Gambar hiasan

K2

Isteri boros buat suami makan hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUBUNGAN suami isteri pasti ada pasang surut dan ia adalah lumrah dalam kehidupan berumah tangga. Namun suami mana yang tahan apabila isteri boros berbelanja hingga mengganggu kewangan keluarga.

Itu yang berlaku kepada seorang lelaki dalam kisah rumah tangga Dari Mahkamah Syariah minggu ini yang mengisahkan sikap boros isteri akhirnya memakan diri selepas suami menjatuhkan talak erana tidak tahan dengan sikap tersebut.

Proses di mahkamah berjalan lancar dengan hak penjagaan anak berusia dua dan empat tahun itu diberikan kepadanya disebabkan Seri tidak bekerja.
————————————————————————————————————————————————————–
BAHTERA perkahwinan antara Zahid dan Seri (bukan nama sebenar) pada awalnya boleh dikatakan berjalan cukup sempurna.

Pasangan yang menetap di Shah Alam, Selangor itu dikurniakan dua orang cahaya mata.

Namun, setelah hampir lima tahun melayari rumah tangga, pasangan berusia awal 30-an itu akhirnya berpisah lantaran

Zahid tidak mampu lagi bertahan dengan sikap Seri yang keterlaluan dalam berbelanja.

Menyoroti perkenalan antara mereka, Zahid mengenali Seri sewaktu sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di ibu negara sebelum memilih untuk mendirikan rumah tangga selepas menamatkan pengajian.

Usai graduasi, mereka berjaya mendapat pekerjaan yang bagus dengan Zahid bekerja sebagai pegawai kerajaan, manakala Seri berkhidmat sebagai setiausaha di sebuah syarikat.

Seri datang daripada keluarga berada, manakala Zahid seorang anak desa yang terpaksa mencari duit sendiri untuk menampung perbelanjaannya sejak zaman belajar di universiti.

Personaliti mereka cukup berbeza, Seri dilihat sering berhabis duit gajinya untuk membeli barangan berjenama, manakala Zahid lebih selesa dengan kehidupan sederhana.

“Saya kenal Seri ketika sama-sama belajar dahulu. Sejak awal lagi saya tahu dia datang daripada keluarga berada apabila dilihat dari segi pemakaiannya.

“Dia selalu pakai baju berjenama dan mengenakan solekan mahal. Ketika itu, saya fikir kos maintenance Seri ini mesti tinggi. Kalau boleh, saya hendak elak kahwin dengan orang macam ini.

“Tetapi tidak sangka pula selepas masuk alam pekerjaan saya semakin rapat dengannya sebelum memutuskan untuk berkahwin,” ujar Zahid ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Pada awal perkahwinan, segalanya tampak lancar sehinggalah Seri mengambil keputusan berhenti kerja selepas melahirkan anak kedua bagi memberi tumpuan pada rumah tangga.

Meskipun telah berhenti kerja, namun keinginan Seri untuk berbelanja membeli barangan berjenama dan makan di restoran mewah tidak pernah pudar.

“Selepas lahir anak kedua, dia ingin berhenti kerja kerana mahu menjaga anak-anak di rumah. Saya tiada halangan kerana gaji saya sudah cukup untuk menampung kami sekeluarga.

“Tetapi yang jadi masalahnya, Seri tidak boleh menghentikan tabiat membeli barang-barang berjenama terutamanya secara online. Duit gaji saya tidak cukup untuk itu,” tegasnya.


SIKAP boros Seri dalam berbelanja secara online akhirnya memakan diri apabila diceraikan suaminya.
– GAMBAR HIASAN

Disebabkan itu, mereka selalu bertengkar kerana Seri menganggap Zahid gagal memenuhi keinginannya untuk berbelanja dan mengamalkan berjimat tidak bertempat.

Bagi meredakan ketegangan yang tercetus, Zahid memberanikan diri untuk memiliki kad kredit bagi membolehkan Seri membeli barang yang dirasakan perlu.

“Duit gaji saya memang tidak cukup untuk beli barang yang diinginkannya pada setiap bulan. Kami selalu bergaduh sebab masalah duit ini.

“Jadi, saya tidak ada pilihan lain kecuali memiliki dan mengaktifkan kad kredit. Jadi, dia boleh beli apa yang diinginkan. Sebelum beri kad itu, saya nasihatkan Seri beli barang yang diperlukan sahaja,” terang lelaki berasal dari Kelantan itu.

Pada bulan pertama, Zahid dapati Seri membelanjakan sekitar RM2,000 bagi membeli barangan keperluan harian dan pakaiannya serta anak-anak.

Bulan berikutnya, perbelanjaan kad kredit Zahid meningkat kepada RM5,000 disebabkan umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sebenarnya, RM2,000 pun saya tidak mampu hendak langsaikan pada hujung bulan. Jadi, saya pilih untuk bayar secara ansuran. Apabila tengok dia guna kad kredit sampai RM5,000, saya mula hilang sabar.

“Saya tanya dia baik-baik apa yang dibeli sampai RM5,000? Seri maklumkan dia beli baju raya sebanyak tiga pasang serta pakaian untuk ibu dan bapanya sekali. Itu tidak termasuk aksesori seperti beg tangan dan kasut serta barang kelengkapan rumah yang kesemuanya dibeli secara online. Saya betul-betul tidak tahu bagaimana hendak bayar,” ceritanya.

Pada malam itu juga, Zahid yang berasa sangat tertekan dan runsing telah hilang sabar dengan sikap Seri sebelum menceraikan isterinya itu dengan talak satu.

Perceraian mereka telah disahkan oleh mahkamah syariah di ibu negara. Menurut Zahid, proses di mahkamah berjalan lancar dengan hak penjagaan anak berusia dua dan empat tahun itu diberikan kepadanya disebabkan Seri tidak bekerja.

“Sewaktu perbicaraan, hakim cuma cakap ramai yang bercerai disebabkan masalah kewangan ketika ini. Sebaiknya, setiap pasangan bertolak-ansur dan jangan berbelanja mengikut nafsu,” terangnya.

Zahid tidak menyesal berpisah dengan Seri kerana dia sedar tidak mampu memberi kemewahan seperti diberi bekas ibu bapa mentuanya.

Katanya, lebih baik Seri dipulangkan ke pangkuan ibu dan bapanya supaya wanita itu boleh merasai sepuasnya nikmat dunia yang didambakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN