fbpx

OPR dikekalkan pada 1.75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Negara Malaysia

PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

BNM dalam Pernyataan Dasar Monetari berkata, ekonomi global terus pulih dan walaupun kegiatan ekonomi sedikit sederhana baru-baru ini disebabkan penularan semula Covid-19 didorong varian Omicron, trajektori pemulihan secara keseluruhan kekal pada landasannya.

“Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan.

“Konflik ketenteraan di Ukraine telah muncul sebagai risiko utama terhadap prospek pertumbuhan global dan perdagangan, harga komoditi serta keadaan pasaran kewangan.

“Prospek pertumbuhan global juga akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan Covid-19, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari oleh ekonomi utama,” katanya.

Menurut BNM, dengan persekitaran yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021 dan pemulihan pertumbuhan akan menjadi lebih kukuh pada tahun 2022, dipacu pengembangan permintaan global, perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi berikutan pasaran pekerja bertambah baik serta sokongan dasar bersasar yang berterusan.

“Jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan memberikan sokongan seterusnya kepada pemulihan ekonomi.

“Kesan terhadap ekonomi akibat peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini yang disebabkan oleh varian
Omicron dijangka kurang teruk berbanding dengan gelombang sebelum ini berikutan tiada sekatan yang ketat.

“Prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI