fbpx

Bekas kakitangan JPN hadapi 13 pertuduhan palsukan dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sofian Ishak (kanan) ketika keluar daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kota Kinabalu hari ini. - FOTO : IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Seorang bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah berdepan 13 pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan mengeluarkan sijil lahir selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini.

Mohd. Sofian Ishak, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Abu Bakar Manat.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan masa yang berlainan iaitu sekitar November 2012 sehingga Februari 2013.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Sofian dipercayai memalsukan buku rekod kesihatan ibu, bayi dan kanak-kanak milik beberapa individu dengan tujuan menipu untuk mengeluarkan sijil kelahiran.

Dalam prosiding hari ini, pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, Mohd. Sofian yang tidak diwakili peguam merayu agar nilai ikat jamin terbabit dikurangkan berikutan kini sudah tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung isteri serta anaknya yang baru berusia tujuh bulan.

Hakim kemudiannya menetapkan tertuduh boleh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan RM6,000 didepositkan hari ini bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI