fbpx

Bencana bah Februari jarang berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
detik cemas penduduk menyelamatkan diri di Kuala Krai (kiri) dan memanjat bumbung (dalam petak) di Hulu Terengganu ketika banjir teruk di Pantai Timur semalam.

PETALING JAYA – Bencana banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin memburuk ketika negara berada di penghujung musim tengkujuh apabila lebih 12,000 orang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 5.30 petang semalam.

Mangsa banjir di puluhan buah kampung di beberapa dae­rah di negeri Pantai Timur itu yang terdiri daripada 3,876 keluarga terpaksa diangkut ke 175 PPS oleh pasukan penyelamat.

Wanita hamil, warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak terpaksa memanjat bumbung serta bukit bersama ahli keluarga masing-masing untuk berlindung daripada arus bah sebelum diselamatkan.

Penduduk menyifatkan fe­nomena banjir besar pada penghujung musim tengkujuh ketika ini sangat mengejutkan kerana ia jarang berlaku pada bulan Feb­ruari.

Difahamkan kali terakhir banjir pada hujung monsun Timur Laut berlaku ialah pada tahun 1990-an.

Pekerja rumah bot Tasik Kenyir bertungkus lumus mengalihkan bot gentian kaca ke kawasan yang lebih tinggi berikutan paras air naik di Hulu Terengganu semalam.

Di Terengganu, antara daerah yang terjejas teruk termasuk di Setiu, Besut dan Kemaman de­ngan sebahagian rumah sudah ditenggelami banjir pada hari ketiga sehingga ke paras bumbung di mukim Tersat dan Telemong.

Lebih memburukkan kea­daan apabila beberapa PPS turut dinaiki air hingga menyebabkan mangsa-mangsa banjir terpaksa menyelamatkan diri ke kawasan tinggi sementara menunggu bantuan.

Beberapa sungai seperti Be­sut, Nerus, Dungun, Tebak, Berang dan Kemaman berada pada paras bahaya iaitu hampir 40 meter disebabkan hujan berterusan sejak Rabu minggu lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Saiful Azuar Mohd. Amin, 30, berkata, banjir kali ini lebih teruk daripada bah besar yang pernah menenggelamkan sebahagian daerah ini pada hujung tahun 2016.

Dia yang menetap di Kampung Lubuk Pait, Hulu Terengganu berkata, mereka lima sekeluarga termasuk isterinya yang sedang sarat mengandung terpaksa memanjat bumbung rumah.

“Limpahan Sungai Tersat naik terlalu cepat bermula pada 7 pagi. Tidak sampai dua jam, paras sudah sampai ke paras bumbung.

“Kami nekad naik ke atap untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

KEADAAN ombak besar yang dikongsi beberapa pelancong tempatan di laman sosial selepas mereka terkandas di Pulau Perhentian, Besut sejak tiga hari lalu

Di Kelantan, antara daerah yang terjejas banjir adalah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Jeli.

Penduduk di Kampung Keroh Lama di Kuala Krai menyifatkan banjir kali ini sama dengan bencana air bah kuning yang menenggelamkan seluruh negeri pada tahun 2014.

Mangsa banjir, Siti Fajel Yaakub, 58, berkata, air berwarna kuning naik dalam tempoh tiga jam ketika hujan lebat semalam.

“Keadaan banjir di Kampung Keroh sama seperti bah besar yang melanda kampung ini lapan tahun lalu. Arus air amat deras dengan warna air kekuningan sekali gus mengingatkan saya kepada banjir yang berlaku pada 2014.

“Semasa air paras lutut, kami sudah mula menyimpan barang kerana khuatir bencana yang le­bih teruk berlaku dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Di Pahang, penduduk pesisir Sungai Tembeling, Jerantut mengambil langkah berjaga-jaga apabila air sudah mula naik di Kampung Bantal.

“Kami dikejutkan dengan siren pada pukul 4 dan 5 pagi ekoran air Sungai Tembeling dan Sungai Gusai sudah melimpah. Ini sangat jarang berlaku pada bulan Februari.

“Selain rumah, kedai runcit dan warung juga dinaiki air dan segala kegiatan harian terhenti ekoran hujan lebat dan banjir kilat,” kata seorang penduduk, Jamizan Rasid, 44.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI