fbpx

SK Assumption ditutup selepas berusia 89 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kira-kira 10 murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Jalan Bagan Dalam, Butterworth di sini memberikan lambaian terakhir kepada guru dan kakitangan sekolah pada hari terakhir persekolahan hari ini.

SEBERANG PERAI – Kira-kira 10 murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Jalan Bagan Dalam, Butterworth di sini memberikan lambaian terakhir kepada guru dan kakitangan sekolah pada hari terakhir persekolahan hari ini.

Mereka merupakan antara 13 murid yang masih meneruskan persekolahan di sekolah berusia 89 tahun itu sebelum ditutup sepenuhnya.

Murid darjah satu hingga lima sebelum ini telah disuraikan ke beberapa sekolah berhampiran pada Isnin lalu.

Seorang murid, Muhamad Arfan Salim, 13, berkata, dia begitu sedih apabila sekolah itu tidak akan beroperasi lagi apatah lagi dia dan rakan-rakan merupakan kumpulan murid darjah enam terakhir.

“Ia akan menjadi memori yang akan dikenang sampai bila-bila kerana saya dan beberapa rakan lain merupakan murid terakhir melangkah keluar dari sekolah sebelum kami ke sekolah menengah.

“Jasa guru-guru sekolah ini amat kami sanjungi dan berterima kasih,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Assumption, Mohd. Aminuddin Baqy Mohd. Noor berkata, beliau bersama ibu bapa, bekas murid dan orang ramai yang mengikuti perkembangan sekolah itu begitu sedih kerana ia tidak dapat dipertahankan.

“Kami telah usaha sedaya upaya mengekalkan sekolah kerana hasrat banyak pihak untuk melihat ia dikekalkan walaupun tahu peluangnya tipis.

“Namun, kami terpaksa akur kerana keputusan telah dimuktamadkan dan operasi sekolah akan berakhir sepenuhnya Isnin ini pada hari akhir penggal. Terima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Sekolah murid lelaki itu pada asalnya dibina di Kampung Perlis, Butterworth pada 1933 sebelum murid ditumpangkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, Butterworth selama 10 tahun bermula 1997 bagi memberi laluan kepada pembangunan di atas tapak asalnya.

Murid-murid kemudiannya dipindahkan ke bangunan baharu sekolah berkenaan di Jalan Bagan Dalam sejak 2008.

Akhbar sebelum ini melaporkan lesen sekolah berkenaan akan dibatalkan selepas penutupannya kerana pemilik tanah persendirian, Sri Avenue Sdn. Bhd. telah meminta tanah dan bangunan tersebut dikembalikan kepada pihak mereka. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI