fbpx

Vape bantu turunkan jumlah perokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan vape disifatkan sebagai alternatif yang kurang mudarat berbanding rokok tradisional. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sekiranya perokok tidak mampu menghentikan tabiat merokok menggunakan kaedah tradisional seperti kaunseling, terapi penggantian nikotin atau ubat, maka pendekatan alternatif menggunakan penggantian kurang mudarat wajar dipertimbangkan.

Ini termasuk menggalakkan perokok bertukar kepada alternatif yang kurang berisiko seperti vape.

Pendekatan ini perlu dilihat secara objektif oleh kerajaan serta komuniti kesihatan awam, kerana dengan mengabaikan pendekatan alternatif penggantian yang kurang mudarat, ramai orang yang akan terus merokok.

Menurut Pakar Kawalan Tembakau dari New Zealand, Dr. Marewa Glover, beberapa negara telah menggunakan pendekatan alternatif penggantian kurang mudarat dan berjaya menyaksikan penurunan kadar perokok yang signifikan.

Sejak memperkenalkan vape, jumlah perokok di negara seperti Sweden, Norway, Jepun dan New Zealand telah banyak berkurangan.

“Menyokong perokok untuk berhenti merokok dengan bertukar kepada vape sepatutnya menjadi sebahagian daripada program kawalan tembakau, berdasarkan bukti saintifik.

“Di New Zealand, kadar merokok harian telah menurun daripada 16.4 peratus pada tahun 2011/2012 ke 9.4 peratus pada 2020/2021.

“Pendekatan ini sangat berkesan untuk negara yang mempunyai kadar merokok yang tinggi dalam kalangan kumpulan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Gambar rajah penggunaan rokok dan vape harian di New Zealand, yang mana kadar merokok didapati berkurangan secara signifikan sejak 2011.

Dr. Marewa merupakan pakar yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang pengurangan kemudaratan berkaitan merokok dan telah menerbitkan 100 kertas kerja saintifik.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan bakal melaksanakan larangan generasi, atau generation end game iaitu melarang pemilikan atau penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.

Ia serupa dengan apa yang diumumkan New Zealand sebagai langkah menuju negara bebas rokok menjelang 2025. Namun begitu, perbezaan ketara antara keduanya ialah cadangan di New Zealand tidak melibatkan vape.

Sebaliknya, negara tersebut mengiktiraf vape sebagai produk yang kurang mudarat dan menggalakkan perokok untuk bertukar menggunakan vape sebagai langkah untuk berhenti merokok.

Dr. Marewa yang juga pengasas Centre of Research Excellence: Indigenous Sovereignty & Smoking berkata, tidak dapat dinafikan bahawa vape turut menarik minat perokok muda, termasuk golongan remaja seperti yang dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.

Pun begitu, jelasnya, situasi berkenaan perlu dilihat dari dari konteks yang lebih luas.

“Di New Zealand, jumlah perokok dalam kalangan remaja berusia 15-17 tahun telah menurun pada tahap yang sangat rendah, iaitu hanya 1.4 peratus.

“Walaupun ia (vape) dikatakan sebagai pencetus golongan muda untuk memulakan tabiat merokok, sebenarnya ia telah menghalang golongan muda ini untuk mula merokok,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI