fbpx

Ukraine laksana perintah darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG awam berlatih menggunakan senjata api di sebuah kompleks menembak di Lviv pada 22 Februari 2022. -AFP

KIEV – Ukraine menguatkuasakan perintah darurat di seluruh negara selepas diluluskan oleh Parlimen semalam, ketika kebimbangan mengenai pencerobohan oleh tentera Rusia ke atas negara itu semakin memuncak, lapor stesen penyiaran Sky News semalam.

Perintah darurat selama sebulan itu akan membolehkan pihak berkuasa menyekat pergerakan, menghalang perhimpunan serta mengharamkan parti-parti politik dan organisasi demi kepentingan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Ia juga mengharamkan penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan kestabilan negara, selain memberi kerajaan hak untuk melaksanakan perintah berkurung serta melakukan pemeriksaan.

Menurut draf mengenainya, perintah darurat itu turut menyekat kebebasan pergerakan pasukan simpanan yang dikerah, menghalang petugas media dan membenarkan anggota pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan dokumen peribadi.

Pasukan tentera simpanan yang berusia 18 hingga 60 tahun turut dikerahkan untuk bersiap sedia, mengikut arahan yang dikeluarkan Presiden Volodymyr Zelenskyy.

Bagi orang awam pula, mereka diberi kebenaran untuk membawa senjata api dan mempertahankan diri selepas Parlimen mengundi untuk menyokong kebenaran tersebut.

Perintah darurat itu dilaksanakan selepas beberapa pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) di Pentagon berkata bahawa tentera Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah bersiap sedia untuk melaksanakan apa yang AS percaya sebagai pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, dengan kira-kira 80 peratus askar berada dalam posisi serangan.

“Putin telah bersiap sedia. Kita sering berkata bahawa bila-bila masa sahaja (Rusia akan menyerang) dan boleh jadi hari ini merupakan hari berlakunya serangan,” kata seorang pegawai AS.

Selasa lalu, anggota-anggota Parlimen Rusia memberi kebenaran kepada Putin untuk menggunakan angkatan tenteranya di luar negara. 

Konvoi peralatan ketenteraan termasuk sembilan buah kereta kebal kemudian diarahkan menuju ke  Donetsk dari arah sempadan Rusia, demikian menurut seorang saksi.

Beberapa pegawai Barat menuduh Kremlin sebagai ‘menceroboh’ dengan mengarahkan tenteranya memasuki wilayah Donetsk and Luhansk, di mana puak pemberontak yang disokong Moscow menguasai kira-kira satu pertiga  wilayah itu.

Dalam pada itu, Putin kelmarin berkata, Moscow kekal terbuka bagi langkah diplomasi, namun ia akan mengutamakan keselamatan negara.

“Rusia akan terus memperkukuhkan anggota tentera di tengah-tengah situasi antarabangsa yang sukar,” kata Putin. 

Putin meletakkan tiga syarat untuk menamatkan krisis tersebut. Pertama, beliau menuntut pengiktirafan antarabangsa bagi Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia.

Kedua, beliau menggesa agar Ukraine menamatkan hasrat untuk menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta yang terakhir, menghentikan penghantaran senjata ke negara itu. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI