SEREMBAN – Seorang bapa kepada empat anak yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ampangan di sini semalam, dikatakan tergesa-gesa mahu pulang ke rumah sebelum terbabit dalam nahas tersebut.
Isteri mangsa, Rushila Roslan, 26, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan rakan-rakan arwah suaminya, Mohamad Nor Safuan Ahmad Zalili, 35, yang kali terakhir bertemu lelaki itu pada pukul 3 pagi semalam
“Kali terakhir saya berjumpa dengan suami pada pukul 9 pagi semalam (kelmarin) semasa mahu keluar bekerja.
“Pada pukul 5 pagi tadi (semalam), saya terjaga tidur dan mendapati suami masih belum pulang. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal.
“Pada pukul 6 pagi, anggota polis datang ke rumah dan memberitahu suami terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini semalam.
Menurut juruwang itu, arwah suaminya kadang kala pulang lewat ke rumah mereka di Taman Dusun Nyior, Ampangan kerana bertemu dengan rakan-rakannya selepas selesai bekerja.
“Arwah suami bekerja di kedai mencuci kereta. Dia juga ada membuat kerja sampingan lain jika ada kelapangan. Biasanya selepas bertemu rakan-rakan, dia akan pulang ke rumah paling lewat pukul 2 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof memberitahu, dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, mangsa dipercayai terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum kenderaan tersebut terbakar.
“Akibat kemalangan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan menyebabkan pemandunya tersepit sebelum kenderaan tersebut terbakar. Mangsa turut terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan sebelum solat Asar semalam.