fbpx

Suku kedua waktu realistik buka sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy (tengah) menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke klinik swasta di Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Suku kedua tahun ini mungkin waktu yang sesuai untuk membuka sempadan negara yang kini masih belum dibuka sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang menyiapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan untuk dibentangkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, proses itu akan melalui beberapa peringkat memandangkan ia melibatkan polisi besar negara untuk membuka semula sempadan.

“Perdana Menteri telah arahkan saya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan, beliau bagi masa dua minggu kepada saya dan KKM untuk menyediakan garis panduan tersebut.

“Ini tidak bermakna sempadan akan dibuka dalam tempoh dua minggu ini. Tetapi saya menjangkakan dua minggu kita siap (garis panduan) mungkin suku tahun kedua adalah garis masa yang realistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan (Peka) B40 di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta KKM mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada mahu membuka terus pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang perlu dibuat.

Mengulas lanjut perkara itu, jelas Khairy, setelah garis panduan itu siap, beliau akan membentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Perincian akan saya bentangkan kepada Jawatankuasa Kuartet Menteri dibawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan akhirnya dibawa kepada Jemaah Menteri sebab ini keputusan besar yang tak boleh dibuat KKM sahaja kerana ia melibat polisi besar negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI