fbpx

Pegawai Kanan SPRM dipenjara, sebat angkara AS$6.94 juta hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrum Nizam Baharuddin yang dikaitkan dengan kehilangan wang rampasan berjumlah AS$6.94 juta dihukum penjara tiga tahun dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 41 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan curang menjadikan bagi kegunaan sendiri suatu harta iaitu wang berjumlah AS$6.94 juta.

Hukuman bagi pertuduhan pilihan itu mengikut Seksyen 403 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebat.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu diperintahkan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021.

Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan supaya harta yang dibeli dengan menggunakan sebahagian wang rampasan antaranya seutas jam tangan Hublot, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah kereta jenama Mercedes.

Selain itu dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepanng, dua bidang tanah di Jerantut dan wang tunai RM8,700 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM.

Turut diperintahkan dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Menurut fakta kes, Shahrum Nizam telah menggunakan RM2.7 juta daripada wang rampasan itu untuk membeli beberapa aset dan barangan antaranya rumah dua setengah tingkat di Sepang, dua buah motosikal Ducati, lapan utas jam tangan mewah dan dua bidang tanah di Jerantut, Pahang.

Tertuduh juga telah meminta pertolongan seseorang untuk menyimpan RM1.4 juta yang akan dijadikan modal perniagaan balak.

Pada 4 Januari lalu, Shahrum Nizam didakwa atas tuduhan pecah amanah wang rampasan jumlah sama dan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI