fbpx

Bekalan RTK dijangka pulih seminggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan Kosmo! semalam.

PETALING JAYA – Isu kekura­ngan bekalan kit ujian pantas (RTK) antigen di pasaran ketika ini dijangka pulih dalam masa terdekat selepas pengimport menerima bekalan dari China.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pada masa sama, pengeluaran RTK oleh kilang-kilang tempatan juga akan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan pengguna lebih-lebih lagi dalam situasi kes Covid-19 yang sedang me­ningkat ketika ini.

“Kami telah menghubungi pihak pengilang tempatan dan mereka akan mempertingkatkan pengeluaran ujian kit Covid-19.

“Selain itu, pengimport juga dijangka menerima bekalan dari China dalam masa seminggu ke tiga minggu lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kos­mo! mengenai nasib dialami peniaga apabila bekalan kit ujian Covid-19 habis diborong selain kegusaran pengguna sekiranya harga alatan itu akan dinaikkan disebabkan terdapat permintaan yang tingi.

Berita berkaitan: Kit ujian Covid-19 habis diborong

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, cuti perayaan di China baru-baru ini menyebabkan kemasukan stok kit ujian Covid-19 tersebut sedikit tergendala.

“Permintaan yang tinggi terhadap RTK terutamanya ketika kes Covid-19 meningkat turut menjadi penyumbang kepada faktor kekurangan bekalan di pasaran.

“Jika diikutkan, pada awal bulan ini, stok bekalan RTK dalam negara adalah sebanyak 18 juta unit dan jumlah tersebut mencukupi dalam keadaan biasa. Tetapi apabila kes meningkat, permintaannya juga melonjak.

“Apabila kes meningkat, banyak ujian calitan dilakukan se­perti di sekolah atau majlis-majlis keraian. Situasi itu menyebabkan berlakunya permintaan mendadak terhadap produk ber­kenaan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kit berkenaan, Azman bagaimanapun meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya berdepan dengan situasi tersebut.

“Harga siling yang ditetapkan bagi RTK Covid-19 ialah RM19.90, jika ada yang jual lebih mahal, tolong laporkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 50 unit RTK antigen habis dijual dalam tempoh empat jam. Selain itu, ada peniaga di beberapa buah negeri terputus bekalan sejak minggu lalu selepas cuti Tahun Baharu Cina. Ibu bapa juga ‘memborong’ kit ujian Covid-19 bagi memeriksa status kesihatan masing-masing sebelum bekerja dan ke sekolah.

Kes positif Covid-19 kini melebihi 20,000 sehari dan varian Omic­ron yang lebih mudah menjangkiti turut menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan kit tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI