fbpx

Gelombang Omicron menuju Eropah timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. Hans Kluge berkata, 10 negara timur Eropah kini mencatatkan kes Omicron Covid-19. - AFP

GENEVA – Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Eropah pada Selasa memberi amaran berkenaan peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 di Armenia, Azerbaijan, Belarus, Georgia, Rusia dan Ukraine sepanjang minggu lalu, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

“Seperti yang dijangka, gelombang Omicron sedang bergerak ke Eropah timur. 10 negara anggota di timur kini telah mengesan varian ini,’’ demikian kenyataan pengarah serantau WHO Eropah, Dr. Hans Kluge.

Lebih 828,000 kes dilaporkan di 52 negara anggota WHO Eropah pada Isnin. Jumlah tersebut mencecah satu juta kes buat pertama kali sejak 11 Januari lalu. Rantau itu merekodkan jumlah Covid-19 tertinggi dengan lebih dua juta kes harian baharu pada 26 Januari lalu.

Rusia melaporkan rekod baharu dengan lebih 197,000 jangkitan pada 10 Februari dengan Omiron dipersalahkan pada 60 peratus daripada keseluruhan kes. Negara itu paling teruk terjejas di Eropah dengan lebih 341,000 kematian.

Kluge menegaskan bahawa pengambilan vaksinasi adalah pertahanan terbaik berdepan wabak dan kematian terhadap semua varian Covid-19 dengan kadar di Eropah timur kekal rendah.

“Kurang daripada 40 peratus daripada mereka yang berusia lebih 60 tahun di Bosnia dan Herzegovina, Bulgaria, Kyrgyzstan, Ukraine dan Uzbekistan telah mendapatkan suntikan vaksin lengkap.

“Bulgaria, Georgia dan Macedonia Utara juga merupakan antara negara dengan 40 peratus pekerja penjagaan kesihatan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin,’’ kata Kluge.

Di Rusia yang merupakan negara pertama di dunia melancarkan kempen vaksinasi nasional, hanya kira-kira separuh daripada 146 juta penduduknya telah divaksin setakat ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI