fbpx

Saman pemula bekas hakim dicadang selesai melalui mediasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menyuarakan cadangan agar saman pemula sekumpulan bekas hakim terhadap Kerajaan Malaysia berhubung kegagalan melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang sepatutnya diterima sejak tujuh tahun lalu, diselesaikan melalui mediasi.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membayangkan supaya kedua-dua pihak berbalah meneroka kemungkinan sama ada tuntutan saman 35 bekas hakim termasuk balu dan tanggungan mereka, dirujuk kepada perantara.

Christopher Leong yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili sekumpulan hakim itu berkata, pihaknya bersedia meneliti cadangan tersebut dan akan memaklumkan kepada mahkamah pada sesi pengurusan kes akan datang yang ditetapkan pada 21 Mac depan.

Sementara itu, Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili pihak kerajaan memberitahu, beliau akan mendapatkan arahan lanjut berhubung cadangan tersebut.

Christopher memaklumkan demikian kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes di hadapan hakim berkenaan semalam.

Peguam itu turut memberitahu, Hakim Wan Ahmad Farid turut meminta pandangan semua pihak berhubung kedudukan beliau yang mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang plaintif yang dinamakan dalam saman itu.

Bagaimanapun, Christopher memberi maklum balas bahawa pihaknya tidak mempunyai isu berhubung perkara tersebut, namun beliau maklum bahawa defendan pertama adalah Kerajaan Malaysia manakala hakim berkenaan pernah berkhidmat dalam kerajaan.

Pada 24 Januari lalu, sejumlah 28 hakim serta balu dan tanggungan mereka memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak 2015.

Mereka ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI