fbpx
BAGI Harith, sekiranya mahu kekal bertahan dalam industri, kena sentiasa berfikir di luar kotak, selain mencari jalan terbaik untuk berbuat sesuatu.

Lawak sarkastik tak semua boleh terima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMAI yang tidak dapat menerima sindirian yang boleh dikatakan agak keterlaluan atau sarkastik oleh sesetengah pelawak terutamanya mereka yang terlibat dalam stand-up comedy.

Salah seorang yang terkenal dengan gaya stand-up comedy ialah pelawak yang sudah tidak asing lagi, Harith Iskander.

Menerusi kolum Wawancara minggu ini, beliau menyentuh banyak perkara termasuk lawan berupa sindiran berbentuk sarkastik. Baginya, jika penonton yang tidak memahami sindiran itu, dia menerimanya dengan hati terbuka kerana bukan semua orang perlu faham apa yang dia faham.

Selain itu, beliau turut menyentuh soal kritikan. Ia merupakan sesuatu yang amat penting, namun seseorang perlu tahu cara tepat untuk mengkritik sesuatu perkara.
————————————————————————————————————————————————-
NAMA Harith Iskander tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Memulakan kerjaya sebagai pelawak sejak awal 1990-an, Harith semakin dikenali di pentas antarabangsa apabila berjaya merangkul anugerah Manusia Paling Lucu di Dunia pada 2016 pada pertandingan yang diadakan di Levi, Finland.

Di sebalik perwatakan lucu dan menghiburkan, Harith adakalanya menyelitkan unsur-unsur sinis atau sarkastik dalam jenakanya, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak yang turut menganggapnya sebagai keterlaluan.

Namun, pengasas kelab komedi The Jokes Factory itu tidak cepat melatah dan menganggap kritikan netizen sebagai sesuatu yang penting untuk memperbaiki diri. Bagi mengulas lanjut tentang isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Harith Iskander baru-baru ini.

KOSMO!AHAD: Sebagai seorang selebriti yang lebih dikenali sebagai stand-up comedian, apakah yang diharapkan daripada setiap persembahan di hadapan ribuan penonton selepas menyentuh isu-isu tertentu melibatkan kehidupan masyarakat di negara ini?

Harith Iskander: Sebagai pelawak selama 30 tahun, saya sudah membuat ribuan persembahan di atas pentas dan selaku seorang stand-up comedian, tugas atau niat saya adalah untuk menghibur dan memberikan mesej baik kepada para penonton.

Bagi saya, dalam waktu lima hingga enam tahun kebelakangan ini, sentiasa mengakhiri persembahan dengan mesej positif seperti perpaduan, tentang Malaysia dan betapa bangga jadi anak Malaysia.

Saya juga amat memahami, sebagai pelawak, saya sedikit sebanyak mempunyai pengaruh dalam memberikan mesej positif, lebih-lebih lagi ketika berada di atas pentas.

Malah, sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sebelum ini, banyak syarikat korporat memanggil saya untuk melakukan persembahan secara maya.

Saya sedar, majikan mahukan pekerja-pekerja mereka berasa positif memandangkan rasa ‘terkurung’ dalam rumah boleh menyebabkan tekanan mental atau jiwa tertekan.

Sebagai seorang pelawak, saya diundang untuk menaikkan semangat dan menjadikan mereka gembira.

Saudara pernah memenangi pertandingan Manusia Paling Lucu di Dunia pada tahun 2016. Bagaimana anugerah tersebut mengubah hidup dan personaliti sebagai pelakon komedi dan apa diperoleh daripada anugerah itu?

Sejujurnya, selepas mendapat anugerah itu, apa yang berubah hanyalah fakta bahawa saya semakin dikenali, khususnya di peringkat antarabangsa.

Selepas semakin dikenali, setiap kali ke Los Angeles, Amerika Syarikat atau menaiki pesawat dan transit di beberapa negara seperti Jepun dan Emiriyah Arab Bersatu, warganya akan mendekati saya dan mengucapkan tahniah atas kemenangan itu.

Pastinya, saya amat berbangga kerana berjaya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui jenaka saya.

Saya masih ingat lagi, ketika mula-mula mahu menyertai pertandingan itu, saya dipandang serong oleh beberapa pihak yang menganggap Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan tidak yakin dengan kebolehan saya untuk membuat persembahan stand-up comedy.

Namun, selepas dinobatkan sebagai Manusia Paling Lucu bagi 2016, rakan-rakan lain mula berminat untuk datang ke Malaysia bagi mengenali dan mendalami sejarah negara kita.

Ia menjadikan saya amat bangga kerana sedikit sebanyak berjaya menjadikan nama Malaysia terkenal di peringkat antarabangsa.

Dalam setiap persembahan, saudara sering menyindir secara sinis golongan tertentu dan adakalanya sesetengah individu menganggap ia terlalu ‘pedas’ dan tidak boleh menerimanya sebagai satu bentuk gurauan. Bagaimana saudara menghadapi keadaan ini?

Mungkin ramai tidak tahu, saya bermula sebagai seorang pelawak korporat yang mana membuat persembahan di majlis makan malam anjuran syarikat korporat.

Bagi yang tidak tahu, dalam dunia korporat, seseorang pelawak perlu membuat persembahan clean dan mengelakkan isu-isu bersifat sensitif.

Namun, stand-up comedy pula berbeza, yang mana ia menyelitkan unsur sindiran.

Oleh itu, saya faham apabila ada pihak tidak memahami sindiran atau lawak bersifat sarkastik.

Sekiranya ada penonton yang tidak memahami sindiran itu, saya menerimanya dengan hati terbuka kerana bukan semua orang perlu faham apa yang saya faham.

Saya juga tidak perlu memahami apa yang difahami oleh orang lain.

Namun, itulah stand up comedy, yang mana ada banyak elemen yang mungkin sukar difahami orang lain.

JELAS Harith, jika tidak suka mendengar kritikan, ia bermaksud kita tidak mahu memperbaiki diri.

Sebagai selebriti terkenal, saudara sering mengkritik sesuatu perkara atau seseorang. Bagaimana rasanya apabila dikritik dan dimarahi netizen di media sosial?

Sebagai seorang selebriti, sudah tentu, ada masanya kami dikritik atau dimarahi oleh netizen.

Ia sudah menjadi satu kebiasaan, namun saya melihat ia sebagai sesuatu yang positif kerana tugas saya adalah menggalakkan golongan muda menyuarakan pendapat mereka.

Apa yang saya perasan, adakalanya anak-anak muda ini takut untuk menyuarakan atau mendedahkan sesuatu yang terbuku di hati.

Sebagai contoh, saya sering berpesan kepada staf-staf di syarikat milik saya, mereka tidak perlu bersetuju dengan semua perkara atau arahan diterima.

Sekiranya tidak bersetuju, mereka perlu bersuara melalui perdebatan dan pendapat dengan cara baik.

Bagi saya, sekiranya kita tidak suka mendengar kritikan, ia bermaksud kita tidak mahu memperbaiki diri.

Hal ini kerana, apabila kita mendengar kritikan, kita akan mempelajari sesuatu tentang diri kita dan minda kita boleh terbuka untuk menjadi individu lebih baik.

Terdapat sesetengah stand-up comedian menyindir atau menyerang seseorang individu secara peribadi dan terbuka dalam persembahannya. Ini dilihat ramai pihak sebagai sesuatu yang tidak sihat dalam industri. Apa pandangan saudara dalam hal ini?

Dalam media sosial, adakalanya netizen membuat kritikan dengan menggunakan perkataan tidak sesuai, sebagai contoh penggunaan perkataan lucah atau memanggil nama-nama tidak sepatutnya.

Bagi saya, kritikan merupakan sesuatu yang amat penting, namun seseorang perlu tahu cara tepat untuk mengkritik sesuatu perkara.

Sekiranya tidak tahu cara betul, sila belajar supaya orang yang dikritik boleh mendengar dan mengambil maklumat yang disampaikan dengan baik.

Penggunaan kata-kata tidak baik hanya menyebabkan pergaduhan dan ia tidak akan menyelesaikan apa-apa.

Bagi saya, industri hiburan ini kecil yang mana bilangan pelawak yang ada juga adalah kecil. Oleh itu, kita seharusnya sedar dengan akhlak dan tindakan diri sendiri.

Kalau boleh, elakkan daripada terasa hati dengan komen-komen yang diberikan. Jadi, apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa menaikkan nama industri ini bersama-sama.

Sebagai selebriti yang banyak membantu orang ramai terutama mangsa banjir baru-baru ini, apa yang saudara lihat perlu diberi penambahbaikan dalam membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang?

Dari segi penambahbaikan, apa yang boleh saya katakan adalah, ia perlu kerana dalam dunia ini, tiada yang sempurna.

Semua pihak harus menilai dan menambah baik perkhidmatan mereka. Namun, apa yang saya mahu tekankan adalah, perasaan bangga apabila melihat ramai yang meluangkan masa untuk membantu orang yang sedang diuji.

Terlalu ramai orang berhati mulia dan mahu membantu antara satu sama lain dengan menghulurkan bantuan tenaga, masa dan wang ringgit kepada mangsa-mangsa banjir.

KESIBUKAN harian sebagai selebriti terkenal, tidak pernah menghalang Harith turun padang membantu dan melihat sendiri kesusahan mereka yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.

Ketika PKP dilaksanakan sebelum ini, ramai terkesan dari segi kewangan termasuk golongan artis. Bagaimana saudara menghadapi situasi sukar itu untuk meneruskan kelangsungan hidup?

Sebelum PKP, saya sebenarnya mempunyai ramai klien dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura, malahan di Eropah.

Sebelum Covid-19 melanda dunia, saya kerap melakukan persembahan secara maya dan boleh dikatakan sudah biasa dengannya.

Sejujurnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah khususnya daripada segi teknologi. Bagi menghasilkan video berkualiti, saya perlu mendapatkan peralatan canggih.

Syukur, walaupun ketika PKP, persembahan saya tidak berkurangan dan boleh dikatakan ia bertambah memandangkan banyak syarikat membuat acara secara maya.

Saya menganggap diri bernasib baik kerana sudah melakukan persembahan secara maya sebelum ini. Sebagai penghibur, kita perlu mempelbagaikan kaedah dan cara untuk mengembirakan orang ramai.

Bagi saya, jika mahu kekal bertahan dalam industri ini, perlu sentiasa berfikir di luar kotak, peka dengan perubahan dan cuba mencari jalan terbaik untuk melakukan sesuatu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN