MANCHESTER – Para pemain Manchester United dilaporkan berminat untuk bekerja di bawah kendalian Mauricio Pochettino ketika kelab berkenaan sedang mencari pengurus tetap mengendalikan pasukan itu.
Ketika ini, Pengurus Ajax Amsterdam, Erik Ten Hag merupakan pencabar utama Pochettino yang akan mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Ralf Rangnick.
Bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa para pemain mahu Pochettino mengemudi pasukan itu selepas beliau juga menyatakan kesanggupan untuk kembali ke England.
United memburu khidmat Pochettino sebaik peletakan jawatan Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini, namun pemilik PSG enggan melepaskan khidmatnya.
Biarpun dilihat mampu memacu PSG untuk meraih gelaran Ligue 1 musim ini, masa depan pengurus dari Argentina itu dikatakan masih tidak menentu terutamanya jika mereka sekali lagi gagal membawa pulang trofi Liga Juara-Juara.
Musim lalu menyaksikan PSG gagal meraih kejuaraan apabila tewas kepada Manchester City pada aksi separuh akhir dan musim ini mereka perlu berdepan Real Madrid pada saingan 16 pasukan terbaik.
United akan meningkatkan lagi usaha mereka mendapatkan seorang pengurus terbaik dan sesuai terutama selepas Richard Arnold kini sudah berada di kerusi ketua pegawai eksekutif menggantikan Ed Woodward.
– AGENSI