fbpx

Bakul ergonomik kurangkan beban pekebun nanas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAKUL ergonomik ini membolehkan para pekebun nanas mengurangkan risiko sakit belakang dan posisi janggal.

MENJADI satu kebiasaan buat pekebun nanas mengangkut hasil tuaian mereka dengan menggunakan bakul rotan untuk dibawa ke tempat pengumpulan.

Namun begitu, mengangkat beban yang berat sebegitu sebenarnya mampu memberi kesan pada bahagian belakang badan.

Menyedari akan permasalahan itu, kumpulan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor telah berjaya mereka cipta inovasi bakul nanas ergonomik yang mampu mengurangkan sakit belakang ketika pekebun menuai nanas.

Inovasi itu juga dapat mengurangkan risiko kesan jangka panjang sakit musculoskeletal membabitkan otot, tulang, saraf dan sendi.

Bakul atau lanjung nanas yang direka untuk pekebun membawa hasil tuaian nanas itu mempunyai ciri-ciri yang dapat mewujudkan keselesaan kepada pekebun berbanding bakul rotan yang banyak digunakan sekarang.

MENERUSI rotan bakul yang digunakan selama ini, para pekebun nanas terpaksa banyak
membongkok. – GAMBAR HIASAN

Inovasi yang dinamakan sebagai Smart Fruit Harvesting Basket (Sumosack) itu direka bentuk dengan bebanan nanas dalam bakul tersebut dibahagikan untuk ditampung mengikut bahagian dan saiz otot belakang badan.

Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Emilia Zainal Abidin berkata, pasukannya telah membuat pengukuran secara antropometri saiz badan 50 pekebun nanas.

Selain itu, mereka turut mengambil saiz purata mereka dalam menghasilkan reka bentuk bakul lanjung berdasarkan struktur belakang badan pekebun.

Menurutnya, bakul lanjung itu turut mempunyai lubang yang membolehkannya diselaras mengikut ketinggian atau saiz badan pekebun.

“Ia dilengkapi puli boleh laras (adjustable pulley) dan tuil (lever) untuk menutup dan membuka bahagian bawah lanjung itu yang memudah dan membolehkan pekebun mengeluarkan nanas secara berdiri tanpa perlu membongkok.

“Ini amat berbeza dengan bakul rotan yang digunakan sekarang kerana pekebun perlu membongkok secara keterlaluan (excessive bending) untuk mengeluarkan buah nanas dari bakul di belakang badan,” jelasnya.

EMILIA memaklumkan bakul itu diperbuat daripada keluli tahan karat dan aluminium dengan berat 4 kilogram.

Tambahnya, dengan inovasi ini, kita dapat menghapuskan posisi janggal yang boleh menyebabkan sakit belakang, otot dan sendi.

Selain itu, bakul ergonomik itu juga dilengkapi dengan empat tali yang boleh dilaras bagi memperkemas ikatan pada bahagian belakang, bahu, dada dan pinggang pekebun yang menggunakannya.

Emilia menjelaskan, bakul itu juga diperbuat daripada keluli tahan karat dan aluminium dengan berat kira-kira 4 kilogram (kg) berbanding bakul rotan yang beratnya lebih 5kg.

“Ia boleh memuatkan antara 40 hingga 45kg nanas. Jumlah ini kurang 30 peratus daripada kapasiti muatan bakul rotan yang boleh memuatkan hampir 70kg. Ini sekali gus meringankan bebanan dipikul oleh pekebun.

“Kita mahu mengelakkan pekebun daripada sakit belakang termasuk kesannya pada jangka masa panjang yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan,” katanya yang merupakan pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan UPM.

Dalam pada itu, mereka menghasilkan bakul ergonomik itu yang bentuk asalnya adalah simple buatan pelajar prasiswazah pada tahun 2017, sebelum ia ditambah baik selepas mendapat geran daripada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) sumbangan dana SME Corp sebanyak RM130,000 pada tahun 2018 yang disalur melalui Yayasan Inovasi Malaysia.

Selain Emilia, penyelidik lain yang terlibat adalah pelajar doktor falsafah Mohd. Hasif Malek serta empat pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.

Bakul ergonomik itu sudah dipatenkan serta akan melalui sedikit penambahbaikan.

Pihak penyelidik juga mengalu-alukan syarikat yang mahu bekerjasama mengeluarkan bakul itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI