fbpx

[VIDEO] Netizen puji pemuda sedekah air kepada ‘sniper’ trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar aksi seorang pemuda yang menyedekahkan sebungkus air kepada anggota trafik yang sedang bertugas.

PETALING JAYA – Bukan sogokan atau rasuah, tetapi mungkin simpati terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di bawah terik matahari mendorong seorang lelaki ‘menyedekahkan’ sebungkus air.

Walaupun bantuan itu nampak kecil, namun ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa penat anggota terbabit yang sedang ‘berjemur’ semasa menjalankan tugas.

Menerusi klip video yang dikongsi di laman Facebook Inforoadblock itu, kelihatan lelaki terbabit menaiki sebuah kereta bersama beberapa rakannya telah berhenti di tepi jalan selepas melihat seorang anggota polis di tengah-tengah pembahagi jalan.

Dia kemudiannya turun dari kereta terbabit lalu melintas jalan untuk memberikan sebungkus air kepada anggota yang sedang bertugas itu.

Difahamkan aksi itu dirakam semasa anggota tersebut menjalankan Ops Tembak Laju, namun lokasi dan tarikh sebenar rakaman itu belum dapat dipastikan.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen memuji tindakan pemuda itu yang mempunyai keperibadian yang tinggi dan prihatin dengan anggota yang sedang bertugas.

“Sikap sebeginilah yang perlu ada dalam diri setiap masyarakat di negara kita, sentiasa prihatin dengan nasib orang sekeliling, tahniah anak muda,” tulis Pak Tam.

“Masih ada budi bahasa tinggi budak muda sekarang, alhamdulillah,” komen Ruslan Cik Lan.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Wan Wanabe.

“Mantap membantu sesama kita, apa pun mereka sama macam kita juga cuma menjalankan tugas yang diamanahkan,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI