fbpx

Klopp berpuas hati aksi debut Diaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIAZ (tengah) dimasukkan sebagai pemain gantian dan berjaya mencipta umpanan gol ketika Liverpool menewaskan Cardiff kelmarin. – AFP

LIVERPOOL – Pengendali Li­verpool, Jurgen Klopp percaya aksi debut yang dipamerkan oleh pemain sayap baharu, Luis Diaz cukup mengagumkan selepas berjaya membantu pasukan menewaskan Cardiff City 3-1 pada aksi Piala FA di Anfield kelmarin.

Pada saingan pusingan keempat itu, skuad The Reds telah meraih tiga gol pada babak kedua menerusi ledakan Diogo Jota, Takumi Minamino dan Harvey Elliott, manakala gol saguhati pasukan pelawat hadir menerusi Rubin Colwill.

Kata Klopp, Diaz yang juga pemain antarabangsa Colombia telah berjaya mencipta peluang jaringan buat Minamino tetapi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan agresif di England selepas me­nerima terjahan keras daripada pertahanan Cardiff.

“Saya teruja menyaksikan apa yang telah disumbangkan oleh Diaz selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua. Dia berjaya mencipta peluang jaringan dan mengenai terjahan itu, saya gembira ia tidak terlalu serius,” katanya.

Sebagai rekod, Diaz yang baru berusia 25 tahun telah ditandatangani Liverpool daripada pasukan gergasi Portugal, FC Porto sebelum jendela perpindahan ditutup minggu lalu dengan nilai perpindahan sebanyak £50 juta (RM280.86 juta).

Sementara itu, Klopp turut gembira apabila Elliott dapat membuat kemunculan kompetitif pertama dalam tempoh enam bulan selepas mengalami patah kaki pada saingan awal musim selain berjaya menyumbangkan satu gol buat pasukan.

“Secara jujur, apa yang lebih menggembirakan saya pada aksi kali ini adalah persembahan Elliott yang saya anggap sebagai kisah dongeng kerana kami tidak menjangka dia mampu membuat kemunculan semula seawal ini kerana menjangkakan musim­nya sudah berakhir sewaktu mengalami kecederaan tersebut,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI