fbpx

Gadis Kampus: Noor Atiqah jana pendapatan sebagai model

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR ATIQAH bijak membahagikan masa antara kerjaya sebagai model dan belajar.

MEMILIKI tubuh tinggi lampai dengan rupa paras menawan ternyata memberi banyak kelebihan dan manfaat kepada gadis berusia 24 tahun itu.

Kelebihan kurniaan Yang Maha Esa itu membolehkan Noor Atiqah Yusof menerima banyak tawaran sebagai model sambilan daripada agensi luar.

Pada masa sama, gadis berasal dari Kajang, Selangor itu mendapat tawaran membuat rebiu produk solekan dan makanan menerusi laman Instagram.

Hasil pendapatan sampingan tersebut digunakan sebaiknya oleh Noor Atiqah bagi menampung perbelanjaan pengajiannya di Universiti Selangor (Unisel).

“Saya buat kerja model ini secara sambilan sahaja kerana masih belajar. Dari situ, dapat saya cari duit tambahan bagi menampung hidup di kampus.

“Lagi pula, saya dapat PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) hanya separuh. Selebihnya kena guna duit poket sendiri,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Menurut Atiqah, minatnya dalam dunia model bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dengan menghadiri beberapa sesi percubaan.

Katanya, dia mula menyinar sebagai model sewaktu melanjutkan pengajian di Unisel selepas mendapat banyak permintaan daripada pensyarah dan rakan-rakan untuk menjadi model.

“Saya pernah pergi sesi pengambilan model di Bangi, tetapi gagal kerana masih ‘kayu’ ketika itu. Selepas masuk universiti, baru saya mula mengorak langkah dan belajar menjadi seorang model.

“Kawan-kawan banyak minta saya jadi model untuk melengkapkan tugasan mereka. Gambar-gambar berkenaan dimuat naik dalam Instagram sehingga berjaya menarik minat agensi model,” tegasnya.

GADIS ayu ini berhasrat untuk bekerja sebagai pereka grafik selepas tamat belajar nanti.

Anak bongsu daripada lima beradik itu menambah, dia menetapkan bayaran sebanyak RM200 sejam kepada pihak luar yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai model.

Ketinggian 173 sentimeter yang dimiliki oleh Noor Atiqah juga membolehkannya aktif dalam arena bola jaring sehingga berjaya mewakili Unisel menyertai beberapa kejohanan.

Jelasnya, pada tahun ini, dia ingin kembali aktif dalam sukan tersebut selepas berehat panjang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama hampir dua tahun.

“Saya main bola jaring sejak di bangku sekolah rendah. Selepas masuk universiti, saya meneruskan hobi ini bagi mengisi masa lapang.

“Tetapi selepas hampir dua tahun tidak bermain, saya ingin kembali aktif. Ketika ini, saya perlu menyertai sesi latihan sekurang-kurangnya dua kali seminggu,” ujarnya.

Meskipun sibuk dengan aktiviti di dalam dan luar kampus, namun Noor Atiqah tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Pereka Grafik.

Pelajar tahun akhir itu berkata, dia perlu bijak membahagi masa antara kuliah, tugasan, sukan dan kerjaya sambilan bagi memastikan semuanya bergerak seiring.

“Memandangkan kini kuliah berjalan secara separuh online dan fizikal. Jadi, ia memudahkan saya untuk membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti luar,” maklumnya.

Mengulas mengenai faktor dia memilih jurusan pereka grafik, Noor Atiqah memaklumkan, segalanya disebabkan minatnya terhadap seni melukis dan mewarna.

Jelasnya, dia memasang impian untuk bekerja sebagai seorang pereka grafik selepas berjaya menamat pengajiannya di Unisel pada akhir tahun ini.

“Saya ambil jurusan ini sebab minat melukis secara manual. Apabila masuk Unisel, saya banyak belajar melukis dan mewarna secara digital.

“Walaupun berbeza, namun saya tidak ada masalah. Saya memang ingin bekerja dalam bidang ini.

“Bahkan, kini saya sudah terima banyak job kecil membuat poster dan logo,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI