fbpx

Bekas tentera derita kanser limfoma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISHAK (dua dari kanan) menerima sumbangan kewangan yang disampaikan Jahaya di rumahnya di Batu 8, Ijok, Kuala Selangor kelmarin.

KUALA SELANGOR – Seorang bekas tentera tidak menyangka sakit tekak berterusan yang dialaminya hujung tahun lalu telah mengubah kehidupannya apabila dia disahkan menghidap limfoma atau kanser darah.

Limfoma ialah sejenis kanser sel darah putih yang boleh ditemui di beberapa organ badan seperti nod limfa, tulang sumsum, limpa dan lain-lain lagi.

Ishak Hussain, 62, berkata, dia sebelum ini tidak pernah mempunyai penyakit kronik termasuk diabetes ataupun tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, katanya, serangan batuk yang dialami hujung lalu telah mengganggu kesihatannya sebelum merujuk ke hospital.

“Saya ke hospital berhampiran daerah ini sebelum diminta ke Hospital Ampang dengan beberapa sampel tisu tekak diambil untuk tujuan analisis.

“Alangkah terkejut apabila hasil analisis membuktikan saya mempunyai limfoma tahap dua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Terdahulu, Ishak dikunjungi selain menerima bantuan kewangan daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim di rumahnya di Batu 8, Ijok di sini.

Menurut Ishak, selepas bersara awal daripada perkhidmatan tentera, dia mencari rezeki dengan berniaga pelbagai jenis barangan, namun kini segala ke­perluan keluarga terpaksa diurus isterinya, Nasidah Yahmin, 61.

Tambahnya, rawatan kemoterapi yang diterima turut memberi kesan kepada tekak hingga menyebabkannya sukar untuk makan.

“Doktor menasihatkan saya untuk minum susu formula yang dimasukkan melalui tiub di perut sebagai sumber permakanan.

“Harga susu tersebut agak mahal iaitu kira-kira RM90 untuk kuantiti 800 gram. Boleh digunakan untuk empat hari dan kosnya mencecah kira-kira RM1,000 se­bulan,” katanya.

Jelasnya, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak, mana­kala empat anaknya yang berusia 30 hingga 38 tahun mempunyai tanggungan masing-masing.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi anaknya, Zaidi Ishak di talian 017-3650132.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI