PETALING JAYA – Penetapan harga siling runcit bagi ayam standard kepada RM8.90 sekilogram sememangnya ditunggu-tunggu seluruh rakyat negara ini terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah atau B40.
Harga maksimum runcit yang dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan RM9.10 sejak awal Januari lalu juga dianggap sudah memadai dan paling murah jika dibandingkan dengan RM10 sekilogram pada tempoh sama tahun lalu.
Rata-rata pengguna yang ditemui Kosmo! di beberapa negeri kini mampu menarik nafas lega sambil meluahkan rasa syukur dan gembira dengan langkah terbaik kerajaan itu yang dianggap dapat membantu mengurangkan beban mereka.
Seorang pengguna, Norhayati Mahmud, 58, dari George Town, Pulau Pinang berkata, harga kawalan ayam yang ditetapkan RM8.90 itu bukan sahaja memberi peluang kepada isi rumah kategori B40 tetapi mampu juga dibeli golongan miskin tegar.
“Harga kawalan ayam yang ditetapkan adalah yang paling murah dan berbaloi dibeli.
“Kami berasa lega sekarang, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban belanja dapur sebab sebelum ini harga barang semuanya naik belaka, Itu cabaran kami sekarang ni,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, seorang suri rumah, Aina Mardhiah Abd. Halim, 39, pula memberitahu, ini adalah peluang terbaik untuk dia dan keluarganya menikmati hidangan ayam dua kali seminggu berbanding hanya sekali setiap bulan.
“Pendapatan bulanan suami yang tidak menentu memaksa kami dan lima anak menikmati hidangan ala kadar dan ayam hanya menjadi hidangan bulanan pada waktu gaji.
“Penetapan harga kawalan kali ini memang dinanti-nantikan seluruh warga negara terutama yang bergaji rendah dan berharap banyak lagi barangan keperluan utama lain turun pada harga manimum,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengguna dari Terengganu, Mohd. Zaki Mohamed, 63, berkata, harga ternakan itu yang sebelum ini mencecah sehingga RM11 sekilogram telah menyusahkan ramai orang kerana ayam adalah antara makanan popular rakyat Malaysia.
“Ini berita gembira buat kami, tiada lagi masalah harga naik melampau, terima kasih atas keprihatinan kerajaan membantu rakyat dalam ekonomi yang sukar sekarang ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Seorang lagi pengguna, Ramlah Mohamad, 67, pula berkata, disebabkan harga yang melambung, dia sudah lama tidak membeli ayam.
“Sebagai seorang pesara, makan mana yang termampu sahaja. Alhamdulillah, ayam sudah turun harga, jadi bolehlah kami beli ayam semula,” katanya.
Selain itu, seorang penduduk Kampung Sungai Manggis Banting, Selangor, Mohd. Hisham Talib, 63, pula berkata, berita yang tular dalam media sosial mengenai harga barang akan terus naik pada bulan ini amat meresahkan beliau sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab membeli barang makanan di pasar.
“Saya berharap harga ayam standard sekilogram RM8.90 dapat dikekalkan harganya atau dikurangkan lagi pada masa depan,” terangnya.