SHAH ALAM – Seramai lebih 500 penduduk Taman Alam Indah Seksyen 33 yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu masih menunggu bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri iaitu Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).
Pengerusi Rukun Tetangga (KRT) Taman Alam Indah, Shamsudin Said berkata, meskipun terdapat bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun BWI dan BSB adalah harapan utama penduduk di sini.
“Saya mewakili penduduk-penduduk Taman Alam Indah amat terharu dan gembira di atas bantuan sumbangan daripada pihak NGO yang sudi menghulurkan bantuan.
“Walaupun kecil tetapi ia amat bermakna kepada kami semua disini dalam mengharungi kelangsungan hidup selepas bencana banjir ini.
“Namun, harapan utama kami ialah bantuan BSB dan BWI daripada pihak kerajaan negeri selangor dan kerajaan pusat agar dapat disegerakan untuk kami meneruskan kehidupan yang baru,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Kosmo! melaporkan seramai 102 penduduk Taman Alam Indah di sini sudah mula menerima bantuan BWI dan BSB dengan jumlah masing-masing sebanyak RM1,0000.
Namun, selepas tarikh tersebut, Shamsudin mendakwa tiada lagi penduduk yang menerima bantuan berkenaan.
Jelasnya lagi, ramai yang betul-betul memerlukan duit ketika ini sebagai persediaan dan persiapan menjelang ketibaan bulan Ramadan dan Aidil Fitri nanti. – K!ONLINE