fbpx

Maloney tagih sentuhan Wan Kuzri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN KUZRI (kanan) masih belum melaporkan diri bersama kem latihan skuad B-23 kerana memiliki isu peribadi yang perlu diselesaikan di AS.

KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney berharap pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Kamal sempat bersama pasukan bagi mengharungi saingan Piala AFF B-23 di Kemboja bulan ini.

Difahamkan, Wan Kuzri masih belum melaporkan diri dalam kem latihan skuad B-23 yang dilangsungkan sejak minggu lalu kerana memiliki isu peribadi yang perlu diselesaikan di AS.

Maloney berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cuba menyelesaikan isu tonggak tengah itu dan berharap dia dapat bersama pasukan sebelum berlepas ke Kemboja minggu depan.

“Saya telah berbual dengannya semalam dan dia kelihatan amat berminat untuk turut bersama pasukan kebangsaan, namun kita kesuntukan masa dan saya harap segalanya dapat di­selesaikan secepat mungkin.

“Sekiranya dia kembali ke Kuala Lumpur, dia perlu menjalani kuarantin untuk tempoh tertentu dan sebaik sahaja dia menyelesaikan urusannya di AS, kita akan buat keputusan muktamad berhubung perkara itu,” katanya pada sesi latihan di Pe­taling Jaya kelmarin.

Sebagai rekod, kali terakhir Wan Kuzri yang kini berusia 20 tahun menyertai kem latihan pusat skuad negara adalah ketika bersama skuad B-19 Tahun pada Ogos 2020.

Sementara itu, Maloney turut memaklumkan bahawa skuad muda Harimau Malaya akan ke Kota Kinabalu hari ini untuk menentang Sabah FC esok sebelum kembali ke ibu negara bagi aksi pemanas badan kedua dengan Kuala Lumpur City FC pada 10 Februari.

Skuad B-23 negara bakal mengharungi jadual padat tahun ini kerana selepas saingan Piala AFF B-23, mereka akan bersaing pada Sukan SEA 2022 di Vietnam pada Mei depan.

Kemudian, pasukan negara akan bersaing pada kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada Jun depan di Uzbekistan dan temasya Sukan Asia 2022 di China pada September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI