fbpx

Kemelut politik bakar semangat pemain Burkina Faso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OUATTARA (kanan) meledak gol tunggal perlawanan untuk membawa Burkina Faso ke saingan separuh akhir AFCON kali ini. – AFP

GAROUA, CAMEROON – Pemain muda Burkina Faso, Dango Ouattara melakar kejutan apabila muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika menewaskan Tunisia 1-0 pada aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), awal pagi semalam.

Biarpun berjaya membantu kemenangan pasukannya, Ouattara terpaksa menamatkan aksi dengan kekecewaan selepas dilayangkan kad merah hingga memaksa Burkina Faso beraksi 10 pemain untuk tempoh lapan minit terakhir.

Bagaimanapun, kejayaan itu sudah cukup untuk menghadirkan keceriaan buat rakyat Burkina Faso yang kini sedang dihimpit kemelut politik selepas berlaku rampasan kuasa oleh tentera yang menggulingkan presiden negara itu, Roch Marc Christian Kabore.

Kejayaan layak ke kelompok empat terbaik itu memberi makna mendalam buat pengendalinya, Kamou Malo yang turut menyifatkan rakyat Burkina Faso memiliki semangat juang tinggi menghadapi situasi sukar.

Kejayaan layak ke separuh akhir ini sekurang-kurangnya sudah pun menyamai pencapai­an tempat keempat yang pernah diraih pada edisi 1998.

“Kemenangan ini membuatkan saya cukup beremosi. Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Burkina Faso yang sedang diuji dengan situasi semasa ketika ini.

“Rakyat Burkina Faso akan terus berdiri, sama seperti yang ditunjukkan pasukan ini. Kami sentiasa cekal menghadapi kehidupan dan mahu mara sejauh yang mungkin,” kata Malo.

Pencapaian terbaik Burkina Faso di AFCON adalah muncul naib juara pada 2013 dan tempat ketiga pada edisi 2017. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI