KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menerusi Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) akan melakukan siasatan berhubung kes seorang lelaki meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.
Pengarahnya, Datuk Azri Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak semalam menerima laporan berlaku kejadian seorang lelaki dipercayal pesakit mental mengamuk dan menyerang bapanya di rumah lelaki tersebut di Kampung Temong Hilir dalam daerah yang sama.
“Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati suspek yang berusia 38 tahun dalam keadaan agresif sedang bergelut, bagaimanapun dia dapat ditahan oleh empat lelaki termasuk bapanya sendiri.
“Pasukan bertugas kemudiannya membantu menahan lelaki tersebut untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, suspek dilapor tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaaan.
Jelas Azri, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh. – K! ONLINE