fbpx

Chez lancar kempen bantu rakyat terkesan pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chez Hamdan bersama isteri tercinta, Sharifah Haziah Akmar yang turut menjadi orang penting menguatkan jentera perniagaannya.

PETALING JAYA – Usahawan terkenal dalam bidang dandanan dan produk rambut, Chez Hamdan juga seperti kebanyakan orang yang terkesan saat pandemik Covid-19 menyapa dunia.

Malah bapa kepada dua cahaya mata ini juga hampir terduduk ketika itu hingga membuat keputusan nekad menutup operasi salun rambutnya di Setapak yang sudah lebih sedekad berdiri megah sejak dua tahun lalu.

Bahkan lelaki dengan nama penuh Halimi Hamdan ini juga berdepan naik turun emosi memikirkan masa depan, tanggungan dan apa saja kemungkinan akan berlaku waktu mendatang.

Mujur beberapa tahun sebelum pandemik menjelma dan salun ditutup, Chez tergerak hati menjual produk rangkaian rambut termasuk jenamanya sendiri, Chez Professional yang dikini ditambah baik menerusi Chez Upgraded 22.

“Pada awal pandemik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasa, saya guna ruang itu kononnya untuk berehat. Namun otak penat berfikir apa yang mahu dibuat demi survival.

“PKP berlanjutan. Saya sampai satu tahap jadi sesak nafas. Seperti dilanda serangan panik dan kebimbangan. Nak tidur pun fikir aliran duit keluar masuk.

“Mampukah duit simpanan bertahan dalam satu jangka waktu tertentu. Salun ditutup pun ada yang cakap saya jatuh bankrup. Sampai rumah penuh ditimbuni dengan kotak barangan penjagaan rambut,” kata Pengarah Urusan Chez Professional itu.

Kata suami kepada Sharifah Haziah Akmar ini, keputusan menghentikan operasi salun di era pandemik juga menghamparkan hikmah tersendiri.

“Sedih pastinya bersarang ketika salun ditutup. Situasi ini bukan seperti hubungan dengan kekasih sampai jadi bolak balik nak menyelamatkannya. Saya tanya kawan termasuk di kalangan orang Cina, mereka cakap jika sudah terlalu lama berniaga, mungkin sebaiknya cari angin baru.

“Pandemik yang datang juga jadi klimaks untuk saya buat keputusan besar. Lepaskan sesuatu yang disayangi (salun) dan pertaruh diri ke bidang perniagaan barangan rambut yang belum pasti hujung pangkalnya bukan perkara mudah.

“Tahun 2020 umpama satu ‘turning point’ dalam hidup dan perniagaan. Mula tukar modul bisnes, gaya hidup, kerja dari rumah dengan membiasakan serba serbi aplikasi dalam talian,” katanya.

Norma baharu jelas sekali mengubah sikap dan cerminan diri Chez yang pemalu kepada berani mengambil risiko dan cabaran.

Tahun lalu menjadi kemuncak untuk memastikan produk jenamanya terus mencipta fenomena.

Rangkaian produknya dengan tagline ‘Your Home Your Saloon’ terdiri daripada tujuh produk yang merangkumi syampu, krim masker dan item penggayaan rambut dengan kualiti seperti di salun, bebas silikon, diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga berpatutan.

“Sekarang kami nak terus ajak lagi ramai orang yang bergelut dan terkesan waktu pandemik untuk menjadi agen memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan. Kami sasar mahu lebih 1,000 agen pada tahun ini,” katanya.

Serentak dengan itu, kempen #duitdijari turut dilancarkan tanpa modal, tanpa bebanan dan tanpa risiko untuk ‘dropship’. Malah usaha merekrut ahli agen elite juga berterusan.

Produk dipasarkan di bawah syarikat Chez Professional Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada 21 November 2020 dan berpengkalan di Taman Melawati dengan sembilan pekerja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI