fbpx

AS, China berlumba cari jet pejuang terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jet pejuang F35-C dilengkapi dengan peralatan-peralatan rahsia dan sulit. – Getty

WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS)  bertungkus-lumus untuk mencari dan mengapungkan  bangkai jet pejuangnya yang terhempas di Laut China Selatan sebelum aset ketenteraan Pentagon itu ditemui oleh China terlebih dahulu.

Menurut  Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam, jet pejuang F35-C itu merupakan pesawat terbaharu yang dilengkapi peralatan  rahsia dan sulit. 

Sekiranya ia ditemui oleh China, semua rahsia mengenai AS akan jatuh ke tangan seterunya itu.

Pesawat F35-C tersebut  dilaporkan terhempas di Laut China Selatan pada Isnin lepas ketika cuba melakukan pendaratan di atas kapal pengangkut pesawat,  USS Carl Vinson dalam satu latihan ketenteraan.

Pesawat berharga AS$100 juta (RM419.8 juta) itu merempuh dek kapal USS Carl Vinson  yang mengakibatkan tujuh anak kapal cedera.

Ia kemudian  karam di dasar laut dan pihak tentera gagal mengesahkan lokasi bangkainya.

Pakar-pakar keselamatan negara AS berkata, tentera China amat berminat untuk mendapatkan bangkai jet pejuang tersebut ketika kapal penyelamat AS berada pada jarak sekurang-kurangnya 10 hari dari lokasi nahas.

“Ia terlalu lambat kerana bateri kotak hitam akan mati sebelum kapal penyelamat tiba, menjadikan keadaan semakin sukar untuk mengesan pesawat F35-C.

“Adalah penting untuk AS mendapatkan kembali bangkai pesawat tersebut kerana pesawat F-35 bagaikan sebuah komputer terbang. Ia direka untuk menghubungkan aset-aset pertahanan yang lain,” kata Perunding Pertananan Abi Austen.

Sementara itu, Penganalisis Hal Ehwal China dan Felo Keselamatan Projek Truman, Bryce Barros berkata, tidak dapat dinafikan bahawa China amat mahukan jet pejuang tersebut meskipun aktiviti intipan siber berkemungkinan telah memberi maklumat mengenai bahagian dalaman, susun atur dan operasinya.

“Saya berpendapat, China mahu melihat bahagian-bahagian sebenar jet pejuang tersebut bagi memahami dengan lebih lanjut bagaimana ia disusun atur dan mencari kelemahannya,” ujar Barros.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan  dan telah menegaskan tuntutan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia turut menolak keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang menyatakan bahawa China tidak mempunyai asas undang-undang ke atas perairan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN