fbpx

Masalah bekalan air jejas 2,000 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIHAK SADA menghantar bekalan air ke rumah penduduk untuk keperluan harian di beberapa taman perumahan sekitar Taman Seri Bayu, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Lebih 2,000 keluarga di beberapa taman perumahan di Sungai Lalang di sini, resah memikirkan masalah gangguan bekalan air yang berlaku setiap hari sejak tahun lalu.

Antara taman perumahan yang terjejas akibat tekanan rendah bekalan air adalah Taman Bukit Bayu, Taman Seri Bayu Fasa 1, Taman Seri Bayu Fasa 2 dan Taman Bandar Baharu.

Penduduk mendakwa mereka telah melaporkan masalah itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan pemaju projek perumahan berkenaan, namun isu tersebut belum dapat diselesaikan.

Sebuah tangki air terdapat di kawasan itu tetapi tidak berfungsi­ dengan sempurna bagi membekalkan air kepada penduduk.

Penduduk Taman Seri Bayu Fasa 1, Ahmad Sazali Mohamad Zaini, 60, berkata, mereka terpaksa mengangkut air dari Loji Air Tupah di Merbok sejauh 10 kilo­meter untuk minum dan memasak.

“Saya terpaksa mengangkut air bersih itu dengan menggunakan kereta selepas simpanan air di rumah berkurangan.

“Sementara itu, bekalan air yang dihantar pihak SADA de­ngan lori tangki digunakan untuk keperluan harian lain seperti mandi dan membasuh pakaian,” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk Taman Seri Bayu Fasa 2, Sobri Bakar, 54, pula berkata, masalah itu sering berlaku dari pagi hingga malam.

“Penduduk juga tidak boleh berharap sepenuhnya kepada bekalan air yang dihantar pihak SADA kerana jadual penghantaran tidak menentu,” ujarnya.

Ketua UMNO Cawangan Taman Seri Bayu, Harun Yob, 62, berkata, penduduk kecewa dan marah apabila gangguan bekalan air masih berlarutan walaupun telah masuk tahun 2022. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI