fbpx
Kestabilan politik penting untuk pembangunan negara.

‘Kita tanggung kemarau kemajuan lebih panjang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kau rasa tak macam Malaysia sekarang makin mundur?”

Tersentak penulis apabila seorang kenalan bertanyakan soalan itu semasa berbual baru-baru ini. Tidak pasti untuk dijawab, penulis minta dijelaskan.

“Yalah, sekarang kita banyak mengambil jalan seolah-olah ke belakang, tidak kisahlah dalam bidang apapun kita ibarat tiada kemajuan dalam tempoh beberapa tahun ini,” ujarnya.

Oh! Jika yang dimaksudkan ialah seolah-olah tiada kemajuan, itu memang penulis setuju. Bukanlah dimaksudkan mundur itu kita yang asalnya maju bertukar mundur tapi kita sebenarnya sudah berada di belakang kerana negara-negara lain memintas ke depan lantaran kita masih di takuk lama.

Contoh terdekat, lihat sahaja negara saudara kita Indonesia. Beberapa minggu lalu dalam satu temu bual eksklusif bersama SEA Today News, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui Indonesia kini berada di hadapan Malaysia.

“Malaysia sebelum ini memimpin kumpulan ASEAN dari segi pembangunan tetapi sekarang Malaysia di belakang Indonesia. Indonesia kini sangat aktif di peringkat antarabangsa dan domestik.

Saya rasa Indonesia berpeluang besar untuk memimpin kumpulan ASEAN kembali,” kata Mahathir.

Hujung 2020 lalu, kita dikejutkan apabila gergasi-gergasi teknologi global, Tesla, Google dan Amazon memilih Indonesia sebagai destinasi pelaburan mereka. Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam tetap menarik perhatian pelabur asing biarpun kala pandemik Covid-19. Mengapa tidak Malaysia? Banyak pihak kaitkannya dengan kestabilan politik.

Kala terkapai-kapai dibadai pandemik Covid-19 dan bencana demi bencana juga rakyat Malaysia bagai dahagakan sesuatu yang boleh menyuntik kekuatan tetapi hampa kerana tiada satu perkembangan yang boleh menjadi sumber kebanggaan.

Sukan pun bagai tiada kemajuan. Sukan-sukan yang pernah kita anggap ‘kepakaran’ kita semuanya makin ke laut dalam. Ketika jiran-jiran serumpun kita sudah mengecapi pingat emas Olimpik, kita masih menanti kilaunya walhal kita nampak lebih jaguh di rantau ini.

Negara-negara yang dahulu mengagumi kita dalam sukan bola sepak kini ‘mengganyang’ kita dalam Piala AFF Suzuki 2020. Sukan badminton pula, ketika kita terlalu menumpukan perseorangan lelaki ditambah lagi dengan kemelut melanda Lee Zii Jia baru-baru ini, Thailand, India bahkan Singapura kini membayangkan skuad yang lebih ‘lengkap’ dan hebat. Jangan jadikan Covid-19 sebagai alasan kita tertinggal, kerana realitinya Covid-19 itu ialah pandemik global.

Negara lain bertambah maju, kita sahaja yang lalai. Lalai kerana sibuk dengan pertelagahan selain terus hanyut dibuai mimpi-mimpi kehebatan masa lampau.

Selagi kita semua, ahli politik dan rakyat tidak mengidamkan kestabilan politik atau berusaha ke arah itu serta merasakan senario politik hari ini yang berserpih-serpih dan sentiasa ‘saling berguling dan diguling’ adalah suatu yang ‘sihat’, nah sama-samalah kita tanggung kemarau kemajuan negara dalam segala hal seperti hari ini yang lebih panjang. Terpulang!

POPULAR