fbpx

Acu kapak selepas diberi notis premis makanan kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

LUMUT – Seorang pemilik premis makanan mengacukan dua bilah kapak terhadap anggota penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) selepas diberi notis tidak mematuhi amalan kebersihan.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah pusat perniagaan makanan di Kampung Koh dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, lelaki berusia 56 tahun itu turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota penguatkuasa terlibat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, peniaga tersebut dipercayai berbuat demikian kerana tidak berpuas hati diberi notis tersebut.

“Kejadian berlaku ketika empat pegawai KKM ke lokasi tersebut untuk membuat penguatkuasaan pemantauan premis makanan dan mendapati berlaku pelanggaran peraturan.

“Notis tersebut dikeluarkan kerana premis makanan lelaki itu didapati tidak bersih, selain dia juga berkuku panjang dan memakai cincin ketika menjalankan perniagaan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Nor Omar, polis sudah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam masa terdekat.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam serta Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI