fbpx

Ahmad Zahid dilepas atau perlu bela diri esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail ketika Ahmad Zahid hadir memberi keterangan kepada SPRM pada 3 Julai 2018.

KUALA LUMPUR – Nasib Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pe­ngubahan wang haram membabitkan nilai puluhan juta dana Yayasan Akalbudi akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini esok.

Keputusan sama ada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperintah membela diri atau dibebaskan daripada kesemua 47 pertuduhan itu akan ditentukan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang telah selesai mendengar keterangan seramai 99 orang saksi pendakwaan bermula 18 November 2019.

Dalam tempoh itu, hakim berkenaan turut mendengar dan meneliti pembentangan hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September 2021.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid, 68, didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zahid didakwa mengikut ­Seksyen 409 Kanun Keseksaan, ­Akta Suruhanjaya Pencegahan ­Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Terdahulu, perjalanan kes terhadap Ahmad Zahid bermula apabila beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Julai 2018 bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut masing-ma­sing pada 10, 11 dan 12 Oktober sebelum ditahan pada 18 Oktober 2018 dan seterusnya didakwa keesokan harinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebanyak tiga kali masing-masing pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Pada prosiding yang berlangsung 6 Disember 2021, hakim Collin turut menetapkan tarikh-tarikh pada bulan Mac, April, Mei dan Jun ini untuk mendengar keterangan saksi-saksi pembe­laan jika mahkamah memutuskan Ahmad Zahid membela diri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI