MERSING –Atas rasa kasih terhadap kucing, seorang lelaki di Kampung Sawah Dato’ Mersing di sini sanggup mengutip haiwan itu yang sakit serta cedera akibat ‘ditendang’ manusia untuk diberikan perlindungan.
Munadi Juki, 51, berkata, dia mula memungut kucing terbiar sejak tahun 2020 selepas isterinya, Salina Abu Bakar, 50, tidak lagi fobia dengan kucing.
Ujarnya, sejak itu, dia pernah membela sehingga 100 ekor kucing terbiar yang ditempatkan di kandang khas di rumahnya.
“Macam-macam kucing pernah kami ambil, ada yang sakit, mata buta, kucing patah kaki dan sakit batu karang, semuanya kami bela sehingga kembali sihat semula.
“Saya tak pernah beli kucing, semua kucing saya adalah kucing kampung terbiar, sebab itu tak ada yang cantik-cantik. Ramai orang suka bela kucing cantik, tapi macam mana pula dengan nasib kucing terbiar yang sakit ini.
“Kami sekeluarga memang sayang kucing, bahkan anak-anak juga sejak kecil apabila nampak kucing sakit di tepi jalan, dia akan ambil dan bawa pulang untuk dirawat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia tidak berkira dengan kesemua kucingnya itu dan menganggap mereka pembawa rezeki.
Bagi bekas penoreh getah itu, membela kucing terbiar banyak memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.
Katanya, daripada seorang penoreh, rezekinya bertambah menjadi mandur sehinggalah dilantik menjadi penjual getah dan berjaya membeli rumah serta kenderaan yang lebih selesa buat keluarga.
“Dahulu saya hanya bawa motosikal buruk dengan hidup menyewa, saya sekolah tidak pandai. Gaji mandur ketika itu hanya RM700. Namun selepas membela kucing haiwan kesayangan Nabi, nampak perbezaan rezeki yang hadir,” ujarnya.