fbpx

1,000 calon SPM B40 terima sumbangan tablet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada pelajar B40 dari SMK Changkat Lada, Seberang Perak yang menerima peranti tablet menerusi program berkenaan.

IPOH – Sebanyak 1,000 tablet diedarkan kepada peserta Program empowerNCER Akademik @Perak melibatkan pelajar tingkatan lima daripada15 buah sekolah di daerah Bagan Datuk, Manjung, Perak Tengah, Larut Matang Selama dan Kerian baru-baru ini.

Penyerahan tablet kepada para pelajar tersebut adalah sebagai usaha memastikan proses pembelajaran terus dilaksanakan secara lebih menarik dan efektif.

Presiden dan Naib Canselor Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Profesor Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub berkata, pihaknyua sangat bertuah dan berbesar hati turut serta dalam inisiatif kerajaan membantu pelajar dalam kalangan keluarga B40 ini.

“Proses penyerahan peranti tablet ini dilakukan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang terlibat iaitu Bagan Datuk, Manjung, Perak Tengah, Larut Matang & Selama dan Kerian yang diserahkan kepada Pengetua-Pengetua sekolah terlibat di daerah masing-masing.

“Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 ini, sebahagian sekolah menyerahkan peranti tablet kepada pelajar dengan pendekatan pandu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, program empowerNCER Akademik @Perak ini juga telah membantu sekolah-sekolah dan guru-guru menambah baik kaedah pembelajaran dan pengajaran dengan memberi latihan kepada guru-guru dan kemudahan penggunaan portal dalam talian, iLearn Ace serta platform Moodle.

“Pemberian tablet ini juga membolehkan pelajar yang tidak mempunyai akses dan kemudahan internet agar tidak ketinggalan dan terus menelaah di rumah melalui pelbagai bahan pembelajaran yang terkandung dalam tablet tersebut.

“Bagi bimbingan jangka panjang pula, pihak IUKL juga menawarkan kemudahan kepada mana-mana pelajar B40 yang ingin menyambung pengajian di kampus kita pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, Program empowerNCER Akademik dilaksanakan bagi membantu pelajar membuat persediaan yang lebih baik dan menyeluruh untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia ini berjaya membantu pelajar daripada keluarga B40 meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lepas. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI