fbpx

Tuntut hak anda sebagai pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
EDDY HAMIDI, WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU kepenggunaan bukanlah perkara baharu, malah topik itu kerap dibahas atau diperjuangkan sejak sekian lama di seluruh pelosok dunia di mana berlaku­nya aktiviti jual-beli yang melibatkan peniaga juga pembeli.

Tidak dinafikan, pembeli atau pengguna sudah tentu mahukan barangan dan perkhidmatan yang diterima setimpal dengan harga yang dibayar, namun ada kalanya mereka bernasib malang apabila menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Mereka yang teraniaya ini bagaimanapun tidak seharus­nya berdiam diri, namun harus tampil memfailkan tuntutan bagi mendapatkan ganti rugi yang setimpal daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan terlibat.

Bagaimanapun, penulis agak terkejut apabila beberapa sesi temu bual bersama pengguna yang mendakwa teraniaya mendapati ada di antara mereka tidak mengetahui hak sebagai pengguna yang membolehkan mereka membuat aduan atau tuntutan ganti rugi.

Menurut Syahril Idzham Abdullah, 35, tindakan mengupah kontraktor untuk mengubah suai rumah beberapa tahun lalu menjadi satu mimpi buruk buatnya apabila kerja renovasi itu mengambil masa yang lama dan hasil yang diterima pula tidak seperti yang dipersetujui.

“Sudahlah bahagian dapur yang ditambah tidak mengikut persetujuan, lantai dapur juga sedikit mendap mengakibatkan air bertakung dan dinding retak.

“Apabila minta dibaiki, beribu alasan diberikan, malah turut mengelak apabila saya mahu dapatkan ganti rugi. Mahu buat tuntutan pun kejadian sudah hampir lima tahun berlalu,” katanya.

Jelas Syahril Idzham, dia akhir­nya terpaksa mengupah kontraktor lain untuk membaiki beberapa kerosakan yang timbul akibat kecuaian kontraktor sebelum ini yang menelan belanja kira-kira RM12,000.

Sementara itu, Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Hamidun Abdul Fatah berkata, masyarakat perlu didedahkan dengan kes-kes me­libatkan isu kepenggunaan dan cara membuat tuntutan jika rasa teraniaya atau tertipu.

“Susulan aduan atau tuntutan yang dibuat itu, TTPM boleh membicarakan dan memutuskan tuntutan pengguna berkaitan dengan pembelian barangan atau perkhidmatan yang dipertikaikan selain mendapatkan keterangan juga siasatan lain sebagaimana yang difikirkan patut.

“Sekiranya keputusan siasatan menyebelahi penuntut, maka mereka layak mendapat bayaran balik wang, penggantian semula barangan, pembaikan serta pampasan dan penentang harus mematuhi perintah tersebut dalam tempoh 14 hari atau didenda RM5,000 atau dua tahun penjara,” tegas beliau.

Jelas Hamidun, sejak ditubuhkan pada November 1999, TTPM telah menerima ratusan ribu tuntutan daripada pengguna yang sekaligus menunjukkan peningkatan terhadap tahap kepekaan tentang hak-hak mereka.

“Pada tahun 2021, sebanyak 4,457 kes difailkan melibatkan pelbagai tuntutan, sekali gus me­nunjukkan pengguna mulai sedar tentang hak-hak mereka untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang setimpal dengan wang yang dibelanjakan,” ujarnya.

Sebagai pengguna, mereka perlu mengetahui hak-hak, agar tidak tidak menjadi mangsa pe­nipuan atau penganiayaan.

Bukan semua peniaga atau pembekal perkhidmatan itu jahat, tetapi pengguna yang bijak perlu tahu melindungi diri daripada menjadi mangsa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI