fbpx

Amanah kemuka tiga tuntutan berkaitan isu Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin Ayub (dua dari kiri) dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar (empat kiri) ketika himpunan rakyat berhubung mendesak PM rehatkan KP SPRM di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Tubuh jawatankuasa siasatan bebas dan memanggil segera satu sidang khas Parlimen.

Itu antara tiga tuntutan dikemukakan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas mengadakan Himpunan Rakyat Desak PM Rehatkan KP SPRM di hadapan kompleks Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memenuhi tiga tuntutan membabitkan isu salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, pihaknya mahu sebuah jawatankuasa bebas yang anggotanya dilantik oleh Parlimen diwujudkan segera bagi menyiasat kes salah laku Azam.

“Kami juga mendesak Perdana Menteri supaya memanggil segera satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan dan membahaskan skandal ini serta meluluskan satu usul pembentukan jawatankuasa siasatan bebas.

“Kami juga mahu Perdana Menteri supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menggantung tugas Azam daripada perjawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan bebas selesai,” katanya.

Himpunan itu dihadiri lebih 50 penyokong Amanah dan turut disertai Naib Presiden I Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Nasional yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Temple, Mohd. Sany Hamzan.

Memorandum tuntutan itu diserahkan kepada Pegawai Khas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhamed Rizman Abdullah.

Katanya, pihaknya menyifatkan kenyataan media dikeluarkan Azam sebelum ini adalah tidak mencukupi untuk mengetepikan keraguan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Salahuddin berkata, Amanah juga akan membawa isu ini ke sidang khas Parlimen berkaitan bencana banjir yang dijadualkan Khamis ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI