fbpx
BULU roma Aina meremang melihat satu lembaga putih merenungnya apabila menjengah ke luar tingkap. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Diganggu lembaga putih di asrama universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hidup seorang pelajar universiti tidak keruan selepas sering diganggu lembaga putih yang sering muncul di asrama.

Menyifatkan sebagai kejadian paling menyeramkan dalam hidupnya, dia terpaksa ‘hadam’ dengan gangguan itu memandangkan baru mendaftar masuk ke asrama penginapannya.

Selain lembaga putih, dia turut diganggu dengan bunyi kanak-kanak bermain di luar biliknya, selain pernah sekali dua pintu biliknya terbuka sendiri pada waktu malam.
—————————————————————————————————————————————-
LEWAT malam itu, Aina (bukan nama sebenar) duduk di meja belajarnya untuk menelaah pelajaran.
Seperti biasa, gadis kelahiran sebuah negeri di Utara tanah air itu membuka sedikit tingkap bagi membiarkan udara malam masuk ke dalam bilik asrama itu.

Pertama kali melanjutkan pengajian di menara gading, Aina begitu teruja dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

Jam menunjukkan angka dua pagi, bulu romanya tiba-tiba meremang apabila mendengar hembusan angin kuat dari arah luar tingkap. Tidak tahu apakah perasaan yang dialaminya itu, anak kedua daripada lima orang beradik itu tidak mengendahkannya.

Selang beberapa minit kemudian, hidungnya tiba-tiba terhidu bau busuk sebelum melihat satu lembaga putih yang merenungnya dari arah luar tingkap tersebut.

Kata gadis berusia 25 tahun itu, ia pengalaman pertamanya diganggu makhluk halus sewaktu melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi di Lembah Klang tiga tahun lalu.

Mengimbau kembali pengalaman seram yang dialaminya itu, gangguan tersebut tidak terhenti di situ kerana dia diganggu lembaga sama hampir setiap hari.

Sehingga ke satu tahap, Aina pernah demam dan meracau kerana terlalu takut.

“Pada asalnya bilik itu dihuni oleh dua pelajar senior. Tetapi salah seorang daripadanya membuat pertukaran bilik.

“Kebetulan saya baru mendaftarkan diri di kolej tersebut, jadi warden asrama mengarahkan saya memenuhi bilik kosong itu.

“Terletak di tingkat bawah, lokasi bilik yang sangat strategik dan berdekatan dengan surau serta kedai runcit benar-benar membuatkan saya gembira. Tetapi, ia hanya sementara sahaja apabila saya mula diganggu pelbagai kejadian menyeramkan termasuk pintu bilik terbuka dengan sendiri,” ceritanya.

PINTU bilik terbuka sendiri antara pengalaman menyeramkan yang terjadi kepada Aina. – GAMBAR HIASAN

Bermula dengan bau busuk dan kemunculan lembaga putih di luar tingkap, Aina kemudian diganggu dengan bunyi kanak-kanak ketawa seakan seronok bermain di luar kaki lima biliknya itu.

Pada mulanya, wanita yang kini bekerja sebagai guru tadika itu menyangka ia datang daripada anak-anak warden.

Bagaimanapun apabila bunyi tersebut semakin kerap dan berlaku di tengah malam, hatinya mula tidak keruan.

Kerana inginkan kepastian, Aina membuka tombol pintu biliknya dan menghendap keluar.

Alangkah terkejutnya Aina apabila dia melihat lembaga putih yang besar di hadapan pintu bilik tersebut.

“Saya menjerit kuat dan tidak ingat apa yang berlaku selepas itu. Sedar-sedar, saya sudah berada di pejabat kesihatan asrama.

“Kata kakak senior, saya menjerit dan rebah tidak sedarkan diri,” katanya.

Jelas Aina, rakan sebiliknya turut memberitahu, dia turut diganggu dengan lembaga yang sama.

Bagaimanapun, gangguan yang diterimanya tidak seteruk Aina kerana dia kuatkan semangat dan sudah biasa dengan situasi seram diganggu makhluk halus.

Disebabkan itu, juga dia kekal mendiami bilik tersebut dari semester pertama sehingga ke semester terakhir biarpun teman sebiliknya sering bertukar kerana tidak tahan diganggu.

Katanya lagi, situasi yang dialami Aina tidaklah seseram mana memandangkan dia pernah mengalami keadaan yang lebih teruk.

Bukan sahaja jelamaan, malahan dia pernah mengalami situasi dicekik ketika sedang tidur.

Tidak mahu terus diganggu lembaga tersebut, Aina mengikut petua nenek moyangnya dahulu dengan meletakkan bawang putih dan lada hitam di keliling bilik tidurnya dengan harapan tidak lagi diganggu.

Telahan wanita ini bagaimanapun meleset kerana situasi yang sama masih lagi berlaku.

“Saya mahu menukar bilik, tetapi disebabkan masih lagi berada di dalam kawasan kolej yang sama, saya risau jika masih dihantui lembaga menyeramkan itu.

“Saya cuba bertahan sehingga ke penghujung semester.

“Walaupun perit, tetapi saya gagahkan diri dan bersyukur kerana sering ditemani dan dibantu rakan sebilik setiap kali menerima gangguan,” ujarnya.

Ujar Aina lagi, tamat semester pertama, dia mengambil keputusan untuk duduk menyewa di luar kolej bersama kakaknya.

“Saya dengar bilik tersebut lama dikosongkan kerana tiada pelajar yang sanggup tinggal di dalamnya dek sering menerima gangguan.

“Walaupun telah lama berlalu, namun setiap kali terkenangkannya, bulu roma saya akan tegak berdiri.

“Saya sangat berharap tidak akan berhadapan dengan peristiwa ini lagi pada masa akan datang,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN