fbpx

Murung, trauma hantui mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk Orang Asli termenung melihat harta bendanya yang rosak akibat banjir melanda di Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, Hulu Langat pada 23 Disember tahun lalu. – AMIR KHALID

PETALING JAYA – Kejadian banjir besar yang berlaku di beberapa negeri selepas hujan tanpa henti selama lebih dua hari pada akhir tahun lalu mengejutkan rakyat Malaysia terutama warga

Lembah Klang yang sebahagian besar tidak pernah melalu bencana itu sepanjang hidup mereka.

Bencana kali ini mengakibatkan kemusnahan harta benda yang dahsyat serta mencatatkan angka korban tertinggi dalam sejarah iaitu melebihi 50 orang di seluruh negara berbanding 21 mangsa dalam kejadian banjir besar pada tahun 2014.

Pakar Psikologi Khidmat Kaunseling Access, Dr. Meriam Omar Din berkata, banjir terburuk yang melanda beberapa buah negeri pada akhir tahun lalu memberi kesan psikologi kepada kebanyakan mangsa.

Katanya, seseorang yang mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi atau mudah berasa murung akan mengalami tekanan yang lebih berbanding individu lain yang bersikap positif.

“Terdapat mangsa yang me­ngalami kemusnahan harta benda dan kehilangan ahli keluarga, namun mereka masih mampu kekal tenang dan fokus untuk meneruskan kehidupan.

“Bagaimanapun, keadaan itu tidak semestinya normal bagi sesetengah individu terutama mereka yang baru pertama kali dilanda musibah dan mudah berasa murung serta bimbang.

“Golongan sebegini yang akan mengalami kemurungan serta trauma berpanjangan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Antara penduduk yang terjejas akibat banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada akhir tahun lalu.

Dr. Meriam memberitahu, tahap kesiapsiagaan adalah faktor penting untuk memastikan daya tahan psikologi seseorang dalam menghadapi bencana.

“Bantuan selepas bencana juga tidak semestinya sumba­ngan material, sebaliknya ia juga perlu merangkumi sokongan psikologi serta khidmat nasihat.

“Bantuan material sudah ba­nyak diberikan seperti barang-barang keperluan, wang tunai dan sebagainya, namun bantuan untuk menangani trauma serta kebimbangan melampau juga perlu diberikan melibatkan pakar-pakar,” ujarnya.

Pakar Psikologi Universiti SEGi Kota Damansara, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor pula berkata, kerajaan, badan bukan kerajaan dan ahli keluarga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada mangsa banjir dari segi emosi dan material.

Katanya, bagi membantu mang­sa banjir pulih daripada trauma, bantuan selepas keluar dari pusat pemindahan sementara (PPS) perlu diberikan.

“Kaunseling itu sangat pen­ting, tetapi kita perlu ingat bantuan itu perlu diberikan bukan dari segi emosi sahaja, tetapi dari segi fizikal mereka kerana ada di antara mangsa banjir ini yang tinggal sehelai sepinggang.

“Manusia perlukan makanan. Selain itu ialah duit, jika tiada sumber wang untuk membeli keperluan, mana mungkin mereka boleh hidup selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI