fbpx

Syazwan Zulkifly terbukti bukan panas baran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAZWAN ZULKIFLY

PETALING JAYA – Sedekad bertahan dalam industri, aktor, Syazwan Zulkifly lega apabila kerjaya lakonannya terus bertahan diterima biarpun pernah digam stesen televisyen akibat pukul kekasih beberapa tahun lalu. Semua itu tidak menjadi kudis yang merosakkan kerjaya lakonan aktor berusia 34 tahu itu.

Katanya, kontroversi yang berlaku tidak mematahkan semangat terus meraih kepercayaan penerbit atau pengarah sekali gus membuktikan dirinya bukan panas baran seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya melalui pelbagai fasa sepanjang 10 tahun berjuang dalam industri seni ini malah pernah digam stesen televisyen gara-gara gosip mencederakan sampai dilabel panas baran.

“Ikutkan memang susah untuk mempertahankan nama apatah lagi banyak benda sudah saya lalui, cuma saya percaya satu perkara iaitu buat betul-betul apabila dapat peluang masuk set penggambaran.

“Saya susah buktikan diri saya bukan macam didakwa, jadi saya kena tunjukkan menerusi hasil kerja yang saya buat. Alhamdulillah saya dapat bertahan sampai sekarang.

“Pada masa sama saya bersyukur biarpun tidak bekerja dengan banyak produksi, mereka yang pernah bekerja dengan saya memberi tawaran lain selepas itu. Mereka tahu perangai saya macam mana,” kata pelakon yang sedang hangat menerusi naskhah Saat Kau Takluk Cinta Ini.

Sekali lagi membawakan watak antagonis, bintang berusia 34 tahun itu mengakui mempelbagaikan karektor mahu pun penampilan setiap watak hitam yang digalas supaya tidak stereotaip.

Dedahnya, dia sanggup menolak pelawaan membintangi sesebuah produksi andai merasakan watak diajukan sama seperti yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Memang saya sukakan watak antagonis sebab ia kena dengan pembawakan tetapi sebagai aktor saya harus menampilkan karektor hitam yang lebih segar berbanding muncul sama saja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai situasi kembali bekerja selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambah pelakon Juvana itu segala-galanya dapat diatur sebaik mungkin walaupun perlu menyusun semula jadual.

Malah dia juga menyatakan dirinya tidak terkesan dengan isu sejuta pengikut laman sosial yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

“Sebenarnya agak mencabar ‘mengejar’ kerja penggambaran yang bertindih selepas PKP, namun dapat diselesaikan dengan kerjasama pihak produksi serta rakan seperjuangan lain.

“Tetapi sepanjang fasa duduk di rumah ketika PKP, saya banyak memperincikan butiran tugasan yang bakal dilaksanakan apabila sektor hiburan dibuka. Jadi kerja dapat dilancarkan.

“Dari segi isu sejuta pengikut pula saya tidak terkena tempiasnya mungkin disebabkan produser sudah tengok hasil kerja saya sepanjang tempoh 10 tahun ini.
Perkara itu barangkali lebih membabitkan orang baharu,” kongsi Syazwan lagi.

Dalam kesibukan melangsaikan satu persatu projek termasuk Tujuh Hari Mencintaiku 3 yang kini dalam pembikinan, dia juga dalam perancangan menduduki kerusi penerbit.

Bersama beberapa rakan, Syazwan kini menubuhkan rumah produksi sekaligus membuka portfolio baharu sebagai produser bagi pembukaan tahun 2022. –

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI