fbpx

PAPSMA mahu halang penyebaran berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) kesal dengan laporan-laporan berita tidak benar yang memberi gambaran negatif terhadap proses pengambilan pekerja asing terutamanya dari Indonesia.

Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, laporan-laporan berita yang mengandungi maklumat tidak benar tersebut berkemungkinan telah dihasilkan oleh penulis bebas yang memperalatkan agensi-agensi media.

“Kami kesal dengan laporan tidak benar daripada organisasi tidak berkaitan mengenai proses pengambilan pekerja asing dan kos melampau membabitkannya.

“Ia (berita palsu) dibuat tanpa memahami proses-proses dan lain-lain prosedur berkaitan pengambilan pekerja asing yang berbeza antara negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Sukumaran berkata, PAPSMA akan terus menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi menghalang penyebaran maklumat palsu berkenaan.

Beliau berkata, mereka juga berhasrat untuk menghalang tindakan tidak bertanggungjawab ejen-ejen haram yang mengutip wang dari majikan-majikan tempatan, bahkan gagal dikesan jika timbul sebarang masalah ketika atau selepas proses pengambilan pekerja.

“Ini akan membolehkan semua ejen pekerja asing berdaftar untuk menjalankan perniagaan secara beretika dan profesional, sekali gus mengekalkan imej baik negara berkaitan proses pengambilan golongan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Sukumaran berkata, pihaknya menyokong tindakan kementerian untuk membuka peluang kepada negara-negara lain terutamanya Bangladesh bagi menghantar tenaga kerja mereka ke sini.

Jelasnya, sebagaimana dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, ia membuatkan industri bersifat lebih kompetitif dan tidak dimonopoli oleh negara-negara tertentu sahaja.

“PAPSMA bersetuju dengan langkah kementerian untuk menghapuskan semua ejen haram dan membenarkan hanya mereka yang berdaftar serta berlesen untuk menjalankan segala aktiviti berkaitan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI