fbpx
Kedai nasi ganja di Ipoh masih mengekalkan harga walaupun kos bahan mentah meningkat ketika ini.

Pengusaha restoran semakin tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pengusaha restoran makanan signitur Pulau Mutiara termasuk nasi kandar ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa apabila terpaksa mengekalkan harga makanan meskipun dibelenggu tekanan berikutan kenaikan kos bahan mentah terutama ikan dan sayur.

Rata-rata mereka bagaimanapun didapati masih menetapkan harga sama bagi hidangan lauk-pauk dan termasuk minuman akibat kenaikan kos bahan mentah di luar jangka bagi barangan yang bukan berada dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Pengusaha Restoran Nasi Kandar Deen Maju, Tajudeen S. Jamaldeen, 52, berkata, pihak­nya kini berdepan dengan kenaikan barangan terutama ikan bawal hitam, senangin, kambing, kubis dan bendi.

Menurut beliau, antara bara­ngan lain yang mengalami kenaikan harga adalah beg plastik selain sewa premis yang dinaikkan sebanyak RM500 bermula pada bulan ini.

“Kenaikan mendadak kos barangan mentah sememang­nya memberi kesan. Setakat ini, saya ambil keputusan untuk mengekalkan harga menu nasi kandar demi menghargai ke­setiaan pelanggan terhadap makanan popular Pulau Pinang ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mengulas lanjut, Tajudeen mencadangkan pihak berwajib supaya membuat pemantauan di peringkat akar umbi agar pengusaha dan peniaga makanan tidak terus tersepit dengan isu kenaikan harga barangan yang dihadapi ketika ini.

Dalam pada itu, Pengurus Restoran Nasi Kandar Raffe di Pulau Tikus, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe turut mengambil pendekatan sama dengan mengekalkan harga menu nasi kandar di premisnya.

“Tiada sebarang kenaikan harga bagi hidangan nasi kandar ­biarpun kami me­ngakui terpaksa berdepan dengan kenaikan kos barangan mentah secara mendadak.

“Antara barangan yang me­ng­a­lami kenaikan harga adalah ikan, sayur dan bawang,” katanya yang turut menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMcom), Mohamed Riz­wan Abdul Ghafoor pula memberitahu, kebanyakan pengusaha restoran kini berdepan dengan kemerosotan keuntungan 20 peratus disebabkan kenaikan kos bahan mentah.

“Selain berdepan isu kekura­ngan bekalan minyak masak peket, para pengusaha kini dihimpit dengan masalah kenaikan harga barangan yang tidak tersenarai di bawah SHMKM terutama rempah ratus yang naik sehingga 15 peratus iaitu RM3 hingga RM4.20 sekilogram dan juga susu tin.

“Pengusaha muslim di negeri ini masih cuba bertahan biarpun terpaksa gigit jari. Tekanan kepada peniaga sentiasa berterusan. Kerajaan diminta supaya jangan lepas tangan, sebaliknya lebih agresif dalam melakukan kawalan dan siasatan ke atas pembekal,” ujarnya.

Di Ipoh, harga sepinggan nasi kandar di beberapa kedai nasi kandar ikonik di bandar raya ini masih kekal sama iaitu RM6 meliputi nasi putih, sepotong ayam masak merah, telur masin, sambal kelapa dan kuah campur.

Kebanyakan pengusaha kedai nasi kandar memaklumkan mereka masih mengekalkan harga walaupun mengakui terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah kerana tidak mahu pe­langgan berasa terbeban.

Pengurus kedai Nasi Kandar Ayam Merah atau nasi ganja, Mohd. Nihmatullah Syed Mustafa berkata, harga RM6 itu kekal sejak lima tahun lalu, biarpun kenaikan harga barang-barang telah berlaku banyak kali sepanjang tempoh tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN