PETALING JAYA – Adik kepada selebriti popular, Neelofa iaitu Ameera Khan menerima kecaman ramai apabila bertindak merakam dan memuat naik beberapa klip filem House Of Gucci yang belum lagi ditayangkan secara rasmi di pawagam Malaysia.
Tindakan yang dilakukan Ameera, 20, menerusi Instastory didedahkan seorang pengguna media sosial dalam Twitter bernama Arsya Ridzuan.
Arsya membuat aduan secara terbuka menerusi satu ciapan kepada Twitter rasmi gergasi panggung wayang tempatan, Golden Screen Cinema (GSC).
“Hi @GSCinemas mengapa (tindakan) ini dibenarkan di panggung wayang anda? Dan, mengapa masih buat benda ini? 2022,” ciapnya ringkas berbaur sarsastik.
GSC kemudian membalas ciapan berkenaan dengan menulis: “Melakukan rakaman kandungan filem adalah sekeras-kerasnya dilarang. Kami mengambil serius tentang perkara ini dan telahpun menghubungi dan melaporkan insiden berkenaan kepada pemilik sebenar untuk tindakan lanjut. Terima kasih kerana melaporkan.
“United International Pictures sudah sedia maklum tentang perkara ini untuk tindakan lanjut pihak mereka. Terima kasih.”
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dan berharap tindakan keras akan dikenakan terhadap Ameera atas apa yang dilakukan.
“Kalau biarkan dia terlepas, ramai lagi akan buat seperti apa yang dia buat. Harap-harap GSC berpegang dengan kata-kata mereka,” ciap seorang pengguna Twitter.
House Of Gucci yang dibintangi Lady Gaga, Adam Driver dan Jared Leto akan memulakan tayangan di pawagam Malaysia bermula 13 Januari ini.
Difahamkan, Ameera antara jemputan yang menghadiri tayangan khas filem berkenaan bersama-sama wartawan, penulis blog dan pempengaruh media sosial baru-baru ini.- K! ONLINE






