fbpx

Laman sosial medan kumpul sukarelawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TONG berisi air turut dibawa untuk diberikan kepada mangsa banjir sebagai bekalan air bersih.

SELEPAS beberapa buah kampung yang terletak di sekitar Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan dilanda aliran puing yang turut membawa lumpur dan sisa kayu balak pada 18 Disember lalu, Khairil Anuar Zainal Azman, 50, mula berasa gelisah memikirkan nasib mangsa banjir di situ.

Selain berdepan kesukaran untuk keluar mendapatkan bantuan disebabkan beberapa jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan, mereka juga sukar untuk berhubung dengan masyarakat luar bagi melaporkan situasi tersebut.

Ini disebabkan gangguan isyarat telefon bimbit yang berlaku pada ketika itu.

Dia yang merupakan pengusaha Kenaboi Adventure Camp (KAC) yang terletak di Kampung Chennah kemudian mengambil inisiatif mengumpulkan komuniti setempat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan kampung yang dilanda banjir lumpur.

Antara kampung yang terjejas akibat banjir di situ termasuklah Kampung Chennah, Kampung Tohor, Kampung Chalin, Kampung Sungai Kekabu, Kampung Telekong dan Kampung Poum.

“Banjir kali ini memang agak teruk. Selain tapak perkhemahan yang saya usahakan sejak 20 tahun lalu musnah dipukul kepala air, banjir lumpur turut merosakkan lebih 100 buah rumah penduduk di enam buah kampung.

“Selepas empat hari dilanda banjir, barulah saya berjaya membuat hantaran menerusi laman Facebook.

“Ia bagi memaklumkan situasi yang kami lalui, selain meminta bantuan daripada pihak luar kerana kami berhadapan kesukaran untuk mendapatkan air bersih, selain peralatan pembersihan, makanan dan ubat-ubatan.

“Saya tidak sangka hantaran menerusi Facebook itu mendapat respons positif daripada beberapa pihak khususnya rakan-rakan lama yang turut berkongsi hobi aktiviti lasak,” katanya.

Antara pihak yang turut mengatur misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di situ termasuklah syarikat Outdoor World Adventure (OWA) yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor.

SUKARELAWAN bekerjasama membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir.

Pengurusnya, Jujie Rozanita Mohd. San berkata, sebalik mendapat maklumat berhubung situasi banjir yang melanda penduduk di sekitar Kenaboi, dia tidak menunggu lama untuk menggerakkan misi menghantar bantuan ke lokasi tersebut.

“Hubungan antara OWA dan KAC sememangnya rapat kerana kami berada dalam industri yang sama dan sering bekerjasama dalam menjalankan aktiviti rekreasi termasuk di sekitar kawasan Kenaboi.

“Sebaik mendapat tahu beberapa buah kampung di situ dilanda banjir lumpur yang merosakkan banyak rumah penduduk selain tapak perkhemahan milik KAC, kami terus mengambil inisiatif mengumpulkan rakan-rakan yang ingin terlibat dalam misi bantuan tersebut.

“Alhamdulillah, hanya dalam masa tiga hari hebahan dibuat menerusi laman Facebook rasmi OWA, kami berjaya mengumpulkan sejumlah sumbangan daripada rakan-rakan yang turut bersimpati dengan mangsa banjir di situ,” katanya.

Jelas Jujie Rozanita, selain menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan keperluan makanan, ada antara rakan Facebook OWA turut meluangkan masa turun padang bagi menyertai misi bantuan tersebut sepanjang dua hari pada 25 dan 26 Disember lalu.

Mengulas lanjut mengenai misi bantuan itu, pemilik syarikat OWA, Muhamad Asril Rizam Majid berkata, seramai 50 sukarelawan berjaya dikumpulkan.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke Kenaboi untuk membantu kerja-kerja membersihkan rumah penduduk yang terjejas.

Kesemua sukarelawan tersebut katanya, telah menawarkan diri bagi menyertai misi bantuan berkenaan atas kerelaan hati dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

“Pada awalnya, saya hanya ingin melakukan misi menghantar bantuan tersebut dengan melibatkan tujuh kakitangan OWA sahaja kerana misi ini dirancang secara mengejut.

CABARAN utama dihadapi sukarelawan adalah membuang lumpur yang tebal.

“Tidak sangka pula hebahan yang dibuat menerusi Facebook OWA berjaya menarik minat ramai individu lain untuk turut terlibat dalam misi berkenaan.

“Sebaik tiba di Kenaboi, sudah ramai sukarelawan yang tiba dan menunggu untuk memulakan misi membersihkan rumah mangsa banjir yang terlibat,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya telah membawa beberapa peralatan pembersihan seperti jet air dan pam air bagi memudahkan kerja-kerja membersihkan dinding dan lantai rumah yang dipenuhi lumpur.

Di samping itu, pihaknya turut membawa sebanyak 20 tong air berkapasiti 55 liter setiap satu.

Ia diberikan kepada beberapa penduduk sebagai bekalan air bersih untuk kegunaan mereka.

Tambah Asrul Rizam, pihaknya akan terus melibatkan diri dalam misi bantuan, khususnya di lokasi yang kurang mendapat tumpuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana alam seperti banjir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI