fbpx

Kaedah handline makin popular dapatkan ikan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMANCING menggunakan kaedah handline memberikan kepuasan berbeza terutama apabila berjaya mendaratkan ikan bersaiz mega.

KAEDAH memancing secara handline iaitu tanpa menggunakan joran atau kekili mungkin kedengaran agak kurang popular terutamanya dalam kalangan mereka yang baru mula hendak berjinak-jinak dengan dunia memancing.

Kebiasaannya, teknik ini yang juga disebut sebagai koyan digemari oleh para nelayan atau ‘otai’ kaki pancing yang tidak gemarkan ‘pertarungan lama’ dengan ikan seperti ketika menggunakan joran biasa.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya teknik ini yang hanya menggunakan tali tangsi dianggap antara cara mudah bagi sesetengah orang untuk mendaratkan ikan, selain menggunakan kekili mendatar atau spinning reels dan overhead.

Bagi seorang pemancing tegar, Azhar Jamil, 39, memancing menggunakan kaedah handline memberikan satu kepuasan berbeza terutamanya apabila mampu menjinakkan ikan bersaiz mega.

Anak jati Teluk Bahang, Pulau Pinang itu berkata, selain pari, dia juga pernah ‘menundukkan’ kurau, kerapu, jenahak serta beberapa spesies ikan lain dengan menggunakan kaedah yang sama.

“Saya memancing sejak kecil, namun hanya mula menjadi pemancing handline sejak 12 tahun lalu.

“Pun begitu, antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang bergelar pemancing handline adalah berjaya menaikkan pari seran seberat 24 kilogram (kg), kurau hampir 6kg dan kerapu seberat 13kg yang berada pada kedalaman air sehingga 4 meter,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Menurut Azhar, kebiasaannya dia turun memancing bersama rakan baiknya, Azizie Ahmad, 40, yang digelarnya sebagai guru dalam kaedah memancing berkenaan.

“Sambil memancing, biasanya kami akan menjaring udang untuk digunakan sebagai umpan ikan pari, jenahak dan kerapu.

AKTIVITI memancing membawa pemancing menjelajah hampir ke setiap lubuk ikan di negara ini.

“Kaedah handline bagaimanapun tidak membenarkan kami untuk memancing sehingga ke laut dalam.

“Sebaliknya, kami lebih gemar memancing di kawasan berhampiran tukun atau di tepian batu,” katanya yang biasa memancing di sekitar Monkey Beach dan Sungai Tukun (Pulau Pinang) serta beberapa lokasi lain termasuk Kemasin (Kelantan), Pulau Payar, Langkawi dan sebagainya.

Walaupun sekadar hobi, memancing juga telah membawa Azhar dan rakannya itu sehingga ke Koh Adang di Thailand dua kali dalam tempoh setahun serta beberapa lokasi di Indonesia sebelum ini.

“Biasanya, lokasi yang menjadi tumpuan kami kurang dari tiga batu nautika dari pulau atau kawasan daratan atau antara 10 ke 15 minit perjalanan sahaja,” ujarnya.

Azhar turut berkongsi beberapa pengalaman manis yang lain ketika menjadi pemancing handline termasuk kehabisan tali tatkala umpan yang dipasang mula mengena.

“Pernah juga saya dan Azizie hampir dapat ikan besar serentak.

“Kelam-kabut jadinya kami sampai tak tahu nak buat apa pada masa itu. Macam-macam lagilah,” katanya yang juga bekerja sebagai seorang pemandu lori.

Tambah Azhar, adakalanya pengalaman itu terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi dan menjadi topik perbualan utama setiap kali mereka berjumpa.
“Bila dikenang balik pengalaman tu, memang saya akan tersenyum sendiri sebab masa itu hanya kami berdua dan tidak ada siapa pun yang dapat membantu kami,” katanya.

Ketika ini, kata Azhar, dia dan Azizie juga sudah mula menyusun pelbagai perancangan termasuk meneroka kawasan memancing baharu khususnya apabila pandemik Covid-19 mula ‘surut’.

“Selain memancing, kami juga mencandat sotong untuk dijadikan umpan kepada jenahak, siakap merah dan kerapu mega.

“Bergantung kepada saiz juga (sotong yang dicandat). Kalau dapat yang besar atau dalam kuantiti yang banyak, biasanya kami akan jual untuk mendapatkan pendapatan sampingan,” jelasnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI