fbpx

Banjir : 17 daerah di 6 negeri masih terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 17 daerah di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Sabah dikesan masih terjejas akibat bencana banjir yang melanda dengan melibatkan seramai 4,635 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada 1,394 ketua isi rumah (KIR) itu kini direkodkan sedang berlindung di 71 pusat perlindungan sementara (PPS).

“Sebanyak 786 PPS telah ditutup dan 114,826 mangsa daripada 31,852 KIR sudah pulang ke rumah masing-masing sekali gus menjadikan jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara seramai 119,639 orang daripada 33,326 KIR.

“Sehingga pukul 2 petang tadi, seramai 12,090 anggota agensi responder dengan 2,231 gabungan aset pelbagai agensi terlibat dalam operasi banjir di seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan sebanyak 478,556 pek makanan untuk diedarkan yang disediakan tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa terkesan banjir.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga pukul 10 pagi tadi telah memaklumkan bahawa sebanyak 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi dibaik pulih bersamaan 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas.

“Baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih menerusi data terkumpul bermula 19 Disember lalu melibatkan infrastruktur komunikasi terjejas dibaik pulih sepenuhnya di Kuala Lumpur, Putrajaya, Port Dickson, Rembau, Seremban, Pekan, Raub, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya, laporan kejadian tanah runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula menunjukkan terdapat pertambahan tujuh kejadian melibatkan Selangor (enam) dan Negeri Sembilan (satu) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian di seluruh negara.

“JMG turut memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG negeri bagi inventori tanah runtuh sepanjang Monson Timur Laut (MTL) 2021/2022.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga melaporkan terdapat kejadian bencana di 53 lokasi merangkumi banjir (empat), cerun runtuh (37), masing-masing satu kes melibatkan jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan setakat 30 Disember lalu melaporkan bahawa sebanyak 85 peratus kerja pembersihan kawasan terjejas banjir di Pahang, Melaka Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor telah selesai dilakukan.

“Sebanyak 2,269 tan sisa dianggarkan di tapak transit manakala di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan dan kerja-kerja pembersihan sisa sampah itu melibatkan seramai 2,286 pekerja dengan melibatkan 908 jentera,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI