fbpx

Tak sempat seludup 2,310 helai kain batik ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang digunakan suspek untuk menyeludup kain batik berjaya ditahan PGA di tepi jalan Kampung Gaung, Pasir Mas semalam. - Foto IHSAN PGA

RANTAU PANJANG – Dua lelaki berjaya meloloskan diri selepas kereta dinaiki mereka yang sarat dengan 2,310 helai kain batik untuk diseludup ke negara jiran merempuh dua buah kereta yang dipakir di tepi jalan Kampung Gaung di sini semalam.

Kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki kedua-dua suspek dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA terus mengekori kereta itu sebelum disedari oleh suspek yang kemudian bertindak memecut laju kereta yang dinaiki mereka.

“Kita telah mengejar kereta tersebut sejauh lima kilometer dari Banggol Chicha di sini sehingga Kampung Gaung dekat jalan Rantau Panjang-Pasir Mas.

“Semasa mengejar, kereta suspek telah merempuh dua buah kereta Perodua Kancil dan Toyota Vios yang diletakkan di tepi jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhari, selepas terlibat kemalangan itu, kedua-dua suspek terus meninggalkan kereta sebelum melarikan diri ke kampung yang berhampiran.

“Anggota PGA telah berusaha menjejak kedua-dua suspek, namun gagal dijumpai. Pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai satu kad pengenalan milik warga tempatan selain beberapa guni putih yang mengandungi kain batik yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Tambah Azhari, kesemua barangan rampasan dan kereta dibawa ke Kompeni Taktikal PGA, Jeram Perdah di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI