fbpx
ORANG Korea percaya, perlu berdehem sebelum masuk tandas jika tidak mahu membuat Cheuksin marah. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Penunggu tandas berambut panjang paling ditakuti di Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM masyarakat Melayu, cerita-cerita hantu yang menyeramkan sering dimomokkan kepada kanak-kanak hingga menyebabkan mereka takut untuk ke tandas pada waktu malam bagi membuang air.

Nampaknya cerita hantu di tandas bukan sahaja membelenggu minda masyarakat kita, malahan orang Korea juga mempunyai kisah tersendiri membabitkan hantu berkenaan.

Dikenali sebagai Cheuksin, ia dikatakan jelmaan dewi paling ganas yang bertapa di dalam tandas dan gemar menakutkan anak-anak sehingga sanggup menolak mereka jatuh ke dalam lubang tandas.

Masyarakat di Korea percaya, anak-anak yang terjatuh dalam tandas akan ditimpa nasib malang dan mati sebelum mencapai usia matang.
——————————————————————————————————————————————————————————————————–
BAGI anak-anak kecil, pergi ke tandas pada waktu malam antara perkara yang cuba dielakkan kerana sesetengah mereka percaya, wujud jelmaan makhluk menggerunkan menanti mereka.

Ada yang sanggup menahan untuk membuang air kecil atau besar dan menunggu hari siang kerana tidak mahu terserempak dengan entiti menyeramkan.

Bukan sahaja di Malaysia, situasi tersebut turut membelenggu minda kanak-kanak di seluruh dunia.

Bagaimanapun, berbeza di Korea apabila ia berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Ini kerana, masyarakat di sana percaya tandas merupakan tempat ‘bertapa’ hantu berambut panjang dikenali sebagai Cheuksin.

Menurut salah seorang penduduk negara itu yang mahu dikenali sebagai Ji-Hoo, Cheuksin merupakan jelmaan dewi paling bengis yang tinggal di bilik mandi dan mempamerkan dirinya sebagai wanita berambut sepanjang.

Memiliki rambut sepanjang 150 meter, Cheuksin dikatakan gemar duduk dalam gelap.

Dakwa mereka, Cheuksin dianggap sebagai hantu paling berbahaya dan dipercayai gemar menakutkan anak-anak sehingga sanggup menolak mereka jatuh ke dalam lubang tandas.

Jelmaan itu juga paling ditakuti antara kebanyakan hantu kerana masyarakat di Korea percaya, anak-anak yang terjatuh dalam tandas akan ditimpa nasib malang dan mati sebelum mencapai usia matang.

“Biasanya, Cheuksin akan mengganas setiap bulan pada hari yang berangka enam seperti tanggal 6, 16 dan 26 hari bulan mengikut kalendar lunar.

“Biasanya, segala kecelakaan yang berlaku di dalam atau di sekitar rumah selain bilik mandi dikaitkan dengan hantu itu.

“Oleh kerana takut terserempak dengannya, masyarakat Korea bukan sahaja akan mengelakkan ke tandas pada waktu malam, tetapi juga mengelak berada di luar rumah terutamanya pada tarikh-tarikh tersebut kerana tidak mahu mengundang malapetaka,” terangnya.

MENURUT kepercayaan orang Korea, jika tersentuh rambut Cheuksin, seseorang boleh terkena penyakit ganjil. –GAMBAR HIASAN

Tergantung di bahagian siling tandas, hantu itu akan menyerang dengan melilit rambutnya di sepanjang leher mangsa sebelum mencekiknya.

“Jika memunculkan diri, bermaksud dia sedang marah.

“Biasanya individu yang ingin ke tandas perlu berdehem tiga kali sebagai tanda pengenalan sebelum masuk kerana ia akan memberinya waktu untuk bersembunyi.

“Gagal berbuat demikian membuatkan hantu tersebut marah.

“Difahamkan, sentuhan rambutnya membuatkan individu diserang penyakit ganjil kronik sehingga tidak boleh diubati menggunakan perubatan moden mahupun tradisional,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Ji-Hoo lagi, sumpahan tersebut boleh dibuang dengan melakukan ritual khusus bagi menenangkan Cheuksin, dikenali sebagai Jesas.

“Bagi melakukan Jesas yang dikhususkan untuk Cheuksin, orang Korea akan menghasilkan sajian kuih beras dipanggil Ttongtteok, yang bermaksud ‘kuih beras tahi’. Ia kemudian disajikan kepada jelmaan itu bersama nasi pulut.

“Kebiasaannya, ritual Jesas dilakukan pada tiga tarikh keramat itu atau ketika si anak terjatuh di dalam lubang tandas,” ujarnya.

Biarpun kepercayaan masyarakat di negaranya terhadap Cheuksin telah wujud sejak berabad lalu, namun akui Ji-Hoo, dia masih sangsi dengan kewujudan hantu berambut panjang itu.

“Bagi yang pernah mengalami situasi menyeramkan, pasti mereka percaya Cheuksin wujud dan berhati-hati dengan pantang-larang ditetapkan.

“Apa-apa pun, bagi mengelakkan diri daripada ditimpa masalah, pastikan anda berdehem tiga kali sebelum masuk ke tandas,” ulasnya.
—————————————————————————————————————————————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN